USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Mac 2022 - Pengambilan serat dietari daripada sayur dan buah dalam kalangan rakyat Malaysia adalah sangat rendah iaitu 16 gram sehari dan paras ini jauh di bawah saranan Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyarankan pengambilan serat dietari sebanyak 20 hingga 25 gram atau 400 gram sayur atau buah sehari.
Menurut Pensyarah Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak @ Wan Ahmad, kebanyakan produk makanan terproses di Malaysia mengandungi serat yang sangat rendah tetapi kandungan lemak dan gula ringkas yang tinggi.
"Prevalens penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, kolorektal kanser, koronari jantung dan sebagainya mampu dikekang dan dicegah menerusi pengambilan serat dietari yang mencukupi daripada sayur dan buah.
"Untuk itu, pemilihan jenis sayur dan buah yang memenuhi kriteria untuk dijadikan bahan atau ramuan dalam pemajuan produk makanan fungsian telah dijalankan.
"Menyedari akan kebanyakan rakyat Malaysia tidak menggemari sayur, konsep ‘menyembunyikan’ serat dietari daripada bahan sampingan pertanian seperti jagung muda, cendawan, kundur dan pisang ranum dalam produk makanan berasaskan tepung seperti biskut, mufin, kek, kuih tradisional dan berasaskan daging (sosej dan kepingan burger) telah dirancang dan dimajukan," ujarnya ketika menyampaikan syarahan dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, hari ini.

Wan Rosli yang juga Dekan PPSK berkata, makanan fungsian bermaksud makanan yang berpotensi memberikan kesan positif terhadap kebaikan kesihatan melangkaui pemakanan asas.
"Sebagai contoh, biskut yang diformulasikan daripada serat jagung muda bukan sahaja mempunyai khasiat pemakanan seperti serat dietari, antioksida dan nutrien yang lain, malahan juga memberikan nilai indeks glisemik (GI) yang rendah.
"Makanan berindeks glisemik yang rendah akan membantu mengurangkan kecenderungan untuk meningkatkan paras gula dalam darah individu terutama mereka yang menghidap diabetes.

"Selain itu, serat dietari buah dan sayur berfungsi memanjangkan rasa kenyang dan mengelak makan secara berlebihan," jelasnya lagi.
Tambah Wan Rosli, kefungsian ini secara tidak langsung mampu membantu mengawal berat badan dan mengekalkan kesihatan.
"Inovasi makanan fungsian melibatkan beberapa langkah penting bermula daripada proses penilaian, pemilihan jenis sayur dan buah, pemprosesan dan penyediaan serat, kajian nilai pemakanan, analisis komponen aktif, penilaian deria dan penyediaan prototaip untuk diuji.
"Selain itu, kajian penyimpanan juga perlu dilakukan untuk memastikan keterjaminan keselamatan makanan dan pengekalan nutrien dalam produk yang telah siap direka cipta.
"Kriteria pemilihan sayur dan buah sebagai bahan yang sesuai untuk dijadikan ramuan berserat dalam makanan terproses adalah berdasarkan kepada aspek ketersediaan, kemudahdapatan, kemudahcapaian, kuantiti, kualiti dan harga," ulasnya lanjut.

Beliau berkata, bahan sampingan daripada beberapa jenis buah-buahan dan sayur- sayuran telah dilaporkan kaya dengan sebatian fenolik yang dianggap mempunyai kesan yang baik terhadap kesihatan.
“Secara ringkasnya, untuk merealisasikan peningkatan pengambilan serat dalam kalangan warga Malaysia, penglibatan semua pihak menerusi konsep keterlibatan lingkaran gandaan 5 (quintuple helix) yang melibatkan entiti akademia, agensi kerajaan, industri, masyarakat dan alam sekitar amat diperlukan untuk bersinergi dan berkolaborasi secara holistik dan dinamik.
“Menyembunyikan serat dietari dalam makanan fungsian yang popular di Malaysia memerlukan usaha tanpa jemu secara berterusan bagi memangkin pemajuan lebih banyak makanan fungsian berserat tinggi untuk menjamin kesihatan yang lestari,” katanya.
Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor merupakan satu medium bagi seseorang professor mengetengahkan ilmu serta penemuan untuk disebarluaskan kepada masyarakat umum.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Eksekutif, Ketua Kumpulan Perubatan USAINS, USAINS Tech Services Sdn. Bhd, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; Timbalan Dekan (Libatsama Industri – Komuniti dan Pembangunan) Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) PPSP USM, Profesor Madya Dr. Asrenee Ab. Razak; Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) PPSK USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Fahmi Lim Abdullah; Timbalan Dekan (Siswazah, Kerjaya dan Antarabangsa) Pusat Pengajian Sains Kesihatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, Profesor Madya Dr. Rafeah Suppian dan Ketua-ketua Jabatan Kampus Kesihatan USM.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman