Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

ISSC BERI TUMPUAN PENYELIDIKAN SENI DAN SAINS PERGERAKAN MANUSIA PASCA COVID-19

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 September 2023 – Situasi global semasa pandemik COVID-19 menunjukkan kesan negatif terhadap penyertaan individu dalam aktiviti fizikal termasuk melakukan senaman dan bersukan.

IMG 20230904 WA0016

Menyedari perkara tersebut, Program Sains Senaman dan Sukan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini mengambil inisiatif menganjurkan Persidangan Antarabangsa Sains Sukan (ISSC) kali ke-13 tahun 2023 bertemakan 'Seni dan Sains Pergerakan Manusia: Kesihatan, Kecergasan, Prestasi'.
 
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, berkata, persidangan ini diadakan bertujuan menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, jurulatih, pensyarah, guru pendidikan jasmani, pengajar kecergasan dan pakar sains sukan untuk berkongsi penemuan dan pengetahuan terkini dalam pelbagai sub-disiplin Sains Sukan dan Senaman.
 
IMG 20230904 WA0017
 
"Persidangan ini telah dianjurkan bermula tahun 2001 secara dwi-tahunan, namun sejak pandemik COVID-19 melanda negara, ianya tertangguh dan ini merupakan persidangan pertama selepas COVID-19.
 
"Persidangan ini juga bertujuan membentangkan bukti-bukti sedia ada dan terkini mengenai kepentingan sukan dan senaman dalam menangani permasalahan sedia ada," katanya ketika ditemui selepas merasmikan persidangan tersebut.
 
Tambah Shaharum, persidangan ini juga akan memberi tumpuan kepada cabaran dalam bidang sukan berprestasi tinggi, kejurulatihan dan latihan dalam kalangan atlet.
 
IMG 20230904 WA0014
 
"Sains Sukan memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi atlet dengan memberikan pemahaman saintifik tentang pelbagai faktor yang mempengaruhi keupayaan fizikal dan mental. 
 
"Antara isu dan topik yang dibincangkan dalam persidangan ini adalah pemakanan sukan, psikologi sukan, fisiologi sukan, bimekanik sukan dan rehabilitasi sukan," jelasnya lagi.
 
Menurut Shaharum, faktor pandemik dan perubahan cuaca global sangat mempengaruhi gaya hidup komuniti masa kini. 
 
IMG 20230904 WA0015
 
“Tidak mahu terlalu terdedah kepada orang ramai dan faktor cuaca yang terlalu panas pada waktu tengah hari dan hujan ribut pada waktu petang telah menyebabkan aktiviti fizikal dalam komuniti sangat terbatas termasuk aktiviti sukan di sekolah.
 
“Situasi ini memaksa kita untuk menyesuaikan diri dan berinovasi dalam mencari cara baharu untuk menyokong kesejahteraan mental dan fizikal atlet serta komuniti.
 
"Bersesuaian dengan tema persidangan ini, ia mencerminkan komitmen kita untuk melangkaui sempadan sedia ada, mencabar kebijaksanaan konvensional dan menerima kemungkinan baharu," ulasnya.
 
Beliau berkata, dengan meneroka seni dan sains pergerakan manusia, ia mampu membuka kunci kemungkinan baharu, mencabar pemikiran konvensional dan memberi inspirasi kepada kemajuan dalam metodologi latihan, penilaian prestasi dan potensi manusia secara keseluruhan.         
                                                                                              
Seramai 10 orang penceramah jemputan, 26 orang penceramah simposium, 61 orang pembentang lisan dan 13 orang pembentang poster dari pelbagai negara termasuk New Zealand, Korea Selatan, Turki, Indonesia, Myanmar, China, India, Thailand, Ukraine dan Finland terlibat dalam persidangan yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula hari ini.
 
Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), PPSK, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim dan Pengerusi ISSC Ke-13, Dr. Ayu Suzailiana Muhamad.
 
Teks : Wan Nor Azlin Wan Azlan /Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman
  • Created on .
  • Hits: 465