Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

JAGA DIRI DAN PATUHI SOP KETIKA PULANG KE KAMPUNG

 

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Julai 2021 – “Bagi pelajar akan yang pulang ke kampung sempena cuti semester dan berpeluang menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga, saya doakan agar perjalanan anda semua dipermudahkan dan selamat sampai ke destinasi yang dituju.

“Pelajar dinasihatkan agar tidak terlalu teruja apabila berjumpa dengan ahli keluarga tersayang dan pastikan anda semua sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar anda semua tidak dijangkiti virus COVID-19 serta tidak menjadi pembawa virus tersebut,” demikian nasihat Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.

SAVE 20210711 170821

Menurut Shaiful, beliau amat berharap agar semua warga Kampus Kesihatan sentiasa menjaga kesihatan diri dan lebih berhati-hati terutama ketika berada dalam kelompok ahli keluarga yang ramai.

“Banyak kes sebenarnya kita tidak sedar pun sudah ada virus COVID-19 dalam komuniti. Kita dalam diam mungkin sudah dijangkiti dan menjangkiti orang lain tanpa sedar kerana tidak mematuhi SOP seperti bersentuhan dan berpelukan.

“Kita kena sedar COVID-19 lebih mudah berjangkit dan berbahaya berbanding influenza lain, malah mampu membawa maut,” ujarnya.

Tambah Shaiful, semua pihak disaran agar lebih berwaspada serta mematuhi setiap saranan pihak berkuasa dari semasa ke semasa dalam membantu kerajaan membendung penularan pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah, ramai warga Kampus Kesihatan telah divaksinasi termasuk para pelajar dan saya berharap agar kadar ini terus menunjukkan peningkatan. Bagi yang masih belum mendaftar, segeralah membuat pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera dan bagi yang telah menerima vaksin, ini bukanlah ‘passport’ untuk kita lalai dan mengabaikan SOP.

“Walaupun anda telah lengkap menerima dos suntikan vaksin, risiko untuk dijangkiti masih ada dengan simptom yang rendah. Namun virus tersebut masih boleh dipindahkan kepada orang lain terutama golongan berisiko tinggi sehingga boleh menyebabkan kematian,” jelasnya lagi.

Shaiful berkata, sikap dan tahap kesedaran semua pihak amat penting dalam membantu mengelak berlaku transmisi sebaran virus. 

“Pematuhan SOP yang sepenuhnya seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan ‘hand sanitizer’ sangat membantu mengurangkan penularan jangkitan dalam kawasan persekitaran kerja, komuniti, di tempat awam dan lain-lain.

“Warga Kampus Kesihatan juga disaran agar memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan melandaikan lekuk kes kenaikan harian yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini dalam menjamin kesejahteraan semua pihak,” katanya lanjut.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.

  • Created on .
  • Hits: 108