KANAK-KANAK ISTIMEWA TIDAK DIPINGGIRKAN DARI TERIMA SUNTIKAN VAKSIN
KOTA BHARU, KELANTAN, 14 Oktober 2021- Hospital Universiti Sains Malaysia menerusi program Outreach KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) meneruskan pemberian vaksin kepada masyarakat dalam usaha menangani penularan COVID-19 di Malaysia.
Menurut Timbalan Pengarah Klinikal, Hospital USM, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria ketika ditemui berkata,
Pusat Asuhan Kanak-Kanak Spastik (PUSAKAS) merupakan destinasi kelima Hospital USM menjalankan aktiviti pemberian vaksin selepas Penjara Pengkalan Chepa, Penjara Satelit Pasir Mas dan Sekolah Menengah Ugama (A) Sullamiah, Bunut Payong.
Menurut Zaidi, bagi memastikan semua masyarakat divaksinasi, golongan anak-anak istimewa juga tidak dipinggirkan apabila pasukan petugas dari Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital USM turun padang untuk memberi suntikan kepada mereka.
"Pemberian vaksin pada kali ini dilaksanakan secara statik bagi mengelak pergerakan mereka dan kaedah ini hanya memerlukan petugas SPPV yang bergerak dari satu penerima kepada penerima vaksin yang seterusnya.
"Kaedah ini juga lebih mudah dan mempercepatkan proses
kerana anak-anak istimewa ini ada yang hiperaktif, agresif serta sukar untuk dikawal," katanya.
Seramai 10 orang petugas dari SPPV Hospital USM terdiri daripada doktor, pembantu perubatan, pegawai farmasi dan pekerja sambilan harian diberi tanggungjawab menjalankan proses vaksinasi pada hari ini.
Tambah Zaidi, seramai 24 orang anak-anak istimewa menerima dos pertama suntikan vaksin Pfizer pada hari ini dan dos kedua akan menyusul 21 hari lagi.
“Melihat kepada sambutan program ini, saya bersyukur ia berjalan dengan lancar apabila anak-anak istimewa ini sangat bersemangat untuk divaksinasi tanpa banyak karenah dengan sokongan ibu bapa serta penjaga mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Pengetua PUSAKAS,
Samsuriati Salleh pula berkata, program tersebut dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, penggunaan pensanitasi tangan dan sebagainya.
“Menyedari golongan OKU ini sukar untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disebabkan ketidakupayaan mereka, penganjuran program ini sangat membantu kerana mereka hanya perlu datang ke tempat mereka belajar untuk menerima suntikan vaksin.
"Walaupun golongan ini terdiri daripada OKU, namun mereka tidak takut untuk menerima suntikan vaksin malah sangat teruja dan gembira," jelasnya.
Samsuriati turut merakamkan penghargaan kepada Hospital USM
atas pelaksanaan program tersebut dan berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi untuk program kesihatan akan datang bagi manfaat golongan OKU di PUSAKAS.
Teks & Foto: R. Alia Fazni R. Azmi dan Anawiah Abdul Aziz
- Created on .
- Hits: 182