Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KEJURUTERAAN GENETIK DALAM PERSPEKTIF PERUBATAN: ANTARA ILUSI DAN REALITI

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Mac 2022 - Kejuruteraan genetik secara umumnya boleh ditakrifkan sebagai teknik memanipulasi bahan genetik organisma yang membawa kepada corak kepelbagaian proses kehidupan untuk pelbagai tujuan seperti perubatan, pertanian dan penghasilan produk ekonomi lain. 

Sesetengah ahli biologi menamakan teknologi ini sebagai `teknik DNA rekombinan’ kerana ia merujuk kepada entiti DNA khusus dalam bakteria seperti plasmid yang digunakan sebagai kenderaan pengklonan gen. 
 
SAVE_20220317_153535.jpg
 
 
 
Pensyarah Program Bioperubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin  ketika menyampaikan syarahan umum berkata, tahun 1980-an menyaksikan revolusi besar-besaran industri bioteknologi berasaskan perubatan dan diagnostik yang secara tidak langsung menunjukkan bidang kejuruteraan genetik semakin popular dalam teknologi hayat. 
 
"Humulin, sejenis insulin manusia yang dihasilkan daripada gen sintetik yang dijuruterakan ke sistem bakteria merupakan produk pertama yang lulus FDA untuk kegunaan pesakit diabetes (kencing manis). 
 
"Pada masa yang sama, teknik DNA 'fingerprinting' mula diterima untuk pembuktian kes jenayah di mahkamah seluruh dunia. 
 
"Penemuan kaedah 'polymerase chain reaction' (PCR) untuk amplifikasi asid nukleik merupakan revolusi sains tersohor yang memberi kemudahan dan mempercepatkan banyak proses biologi," ujarnya dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, hari ini. 
 
 
 
SAVE_20220317_153525.jpg
 
Shaharum yang juga Pemangku Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM berkata, haiwan transgenik pertama telah dihasilkan sekitar tahun 1981 dengan kaedah mikro- injeksi. 
 
"Apabila Roslin Institue and University of Edinburg mengumumkan kejayaan teknik 'Somatic Cell Nuclear Transfer' untuk menghasilkan klon Bebiri Dolly pada tahun 1996, seluruh dunia dikejutkan dengan pelbagai spekulasi negatif terhadap keupayaan kejuruteraan genetik untuk kebaikan sejagat. 
 
"Salah tafsiran serta pelbagai ilusi ini mengakibatkan banyak kerajaan seluruh dunia mewujudkan beberapa moratorium dan penilaian semula kesannya ke atas asas nilai etika, agama dan keamanan sedunia. 
 
"Hakikatnya, teknologi ini telah memberi banyak kebaikan terutamanya kepada dunia perubatan apabila produk terapeutik seperti'α- 1- anti trypsin' yang dihasil daripada susu bebiri transgenik dijuruterakan khusus untuk merawat 'cystic fibrosis'," jelasnya lagi. 
 
 
 SAVE_20220317_153553.jpg
 
Tambah Shaharum, kejayaan 'Human Genome Project' pada tahun 1990 hingga 2003 dan kepantasan perlumbaan pembangunan teknologi 'Next Generation Sequencing' (NGS) banyak membantu pakar perubatan mengenalpasti pelbagai gen yang terlibat dalam mengawal atur fungsi badan manusia serta memahami pengawalaturan gen yang terlibat dalam pelbagai penyakit. 
 
"Aplikasi kejuruteraan genetik dalam penghasilan vaksin Hepatitis B pada tahun 1986 memberikan nafas baru kepada industri penghasilan vaksin. 
 
"Penggabungan teknik kejuruteraan genetik dan teknologi nano membangunkan kaedah pengesanan penyakit berjangkit yang cepat dan tepat. 
 
"Pengesanan jangkitan penyakit menggunakan kit RTK-Ag misalnya mampu mengesan jangkitan dalam masa 10 hingga 15 minit sahaja," katanya. 
 
 
 
 SAVE_20220317_153546.jpg
 
Shaharum turut menjelaskan bahawailusi dan pandangan negatif terhadap kejuruteraan genetik bukan perkara baharu. 
 
"Ia telah wujud sejak awal tahun 1970-an lagi sehingga memaksa semua ahli Sains Biologi Molekul berkumpul di Kongres Antarabangsa berkaitan molekul DNA rekombinan di Pusat Persidangan Asilomar, California pada Februari 1975 bagi menyaksikan ahli Sains Biologi Molekul sebulat suara bersetuju bahawa eksperimen dan penyelidikan berkaitan kejuruteraan genetik harus diteruskan tetapi perlu mematuhi garis panduan daripada pihak berautoriti. 
 
"Isu paling terkini adalah teknologi pengeditan genom `CRISPR’ yang baharu diperkenalkan aplikasinya sekitar tahun 2014 yang membenarkan konsep perubatan berasaskan manipulasi gen. 
 
"Di Malaysia, Akta 678 atau dikenali sebagai Akta Bio-keselamatan telah digubal untuk memastikan tidak ada salah laku dan penyelewengan berkaitan isu keselamatan biologi dan sumber genetik," ulasnya lanjut. 
 
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
  • Created on .
  • Hits: 827