USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 April 2020 - Meskipun pelbagai aktiviti luar terbatas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa bermula 18 Mac lalu, ia bukanlah alasan untuk pelajar asrama dan rakyat Malaysia amnya berhenti mengamalkan gaya hidup sihat.
Menerusi kemudahan internet, orang ramai kini boleh bersenam di rumah masing -masing, di asrama dan di mana sahaja mereka berada secara langsung serta percuma dalam talian menerusi media sosial Instagram, Facebook atau YouTube.
Menurut Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Senaman dan Sukan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM), Kavitha Sivapragasam, 22, beliau mengambil tanggungjawab apabila diarahkan oleh pensyarahnya, Dr. Adam Abdul Malik untuk menghasilkan video bagi memperkenalkan pelan senaman mudah untuk para pelajar yang menginap di asrama khususnya pelajar Kampus Kesihatan USM.
“Video rutin senaman ini bertujuan untuk menggalakkan para pelajar supaya kekal aktif dan cergas walaupun semua aktiviti luar telah disekat sepanjang tempoh PKP ini dan ia merupakan satu pendekatan yang berkesan kepada pelajar bagi mengisi masa lapang mereka dengan melakukan aktiviti berfaedah di samping dapat menyihatkan tubuh badan mereka.
“Pelan ini merangkumi 10 teknik senaman mudah yang tidak memerlukan sebarang peralatan, dapat dilakukan dalam tempoh 20 minit serta mampu menunjukkan keberkesanan dan hasil yang nyata,” ujarnya.
Kavitha berkata, berdasarkan respon dari para pelajar, mereka mendapati video tersebut bermanfaat dan menyeronokkan untuk diikuti.
“Penggunaan rutin yang mudah dan tidak kompleks dalam pelan senaman ini telah menjadikan amalan untuk kekal aktif itu lebih senang untuk dilakukan.
“Berikutan permintaan yang tinggi, Sesi Senaman PKP secara siaran langsung telah dibuat melalui media sosial Instagram untuk diikuti oleh para pelajar dan sehingga kini ia mendapat sambutan lebih 3,000 tontonan dan kebanyakan pelajar mengakui bahawa ia mudah diikuti dan menyeronokkan,” jelasnya lagi.
Tambah Kavitha, bagi pelajar yang berada di rumah, sesi ini juga bermanfaat untuk seisi keluarga sekiranya dilakukan bersama-sama.
“Melalui rutin senaman mudah ini, kenyataan bahawa bersenam pada bila-bila masa dan di mana sahaja dapat diserlahkan.
“Terus aktif dan kreatif dengan aktiviti yang boleh dilakukan di dalam kawasan tertutup kerana amalan gaya hidup sihat adalah penting pada setiap masa,” katanya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Kavitha Sivapragasam