KEMPEN BULAN SOLAT DAN CAKNA AL-QURAN PERINGKAT KAMPUS KESIHATAN USM TINGKAT KESEDARAN STAF BAIKI MUTU IBADAH SOLAT
USM, KUBANG KERIAN, 7 Februari 2024 - Kewajipan untuk melaksanakan segala ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT tidak terbatas pada waktu dan musim tertentu. Namun, bulan Rejab merupakan salah satu daripada bulan istimewa bagi umat Islam untuk dijadikan iktibar dan detik penting agar sentiasa berusaha memanfaatkan peluang dan kesempatan untuk meningkatkan amalan dan ibadah kepada Allah SWT.
Perintah solat yang pertama kali diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dalam bulan Rejab adalah ibadah paling utama yang menjadi asas hubungan antara hamba dengan Pencipta serta menjadi kunci kesejahteraan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Oleh itu, umat Islam dituntut agar memelihara solat pada setiap waktu.
Menurut Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Latihan Iktisas, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Irfan Mohamad yang mewakili Yang Menjalankan Fungsi Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, penganjuran Kempen Bulan Solat dan Cakna Al-Quran oleh Pusat Islam Kampus Kesihatan dilihat sebagai salah satu usaha yang amat baik.
“Program sebegini amat wajar diadakan dan dipanjangkan kepada seluruh warga kampus dalam usaha meningkatkan kesedaran untuk memperbaiki mutu tiang agama iaitu ibadah solat.
“Selain itu, ia juga mampu menjadi motivasi untuk mempelajari, membaca, mengkaji dan menghayati al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran kempen tersebut, hari ini.
Beliau turut menyeru semua warga Kampus Kesihatan untuk sama-sama merenung, menginsafi dan refleksi diri seterusnya berazam untuk memperbaiki mutu dan kualiti solat serta bacaan al-Quran.
“Sebagai seorang muslim, kita wajib menjadikan solat sebagai keutamaan berbanding perkara lain dan al-Quran sebagai peneman di saat kita senang mahupun susah. Hanya dengan mengingati Allah SWT hati kita akan menjadi tenang.
“Solat dan al-Quran tidak dapat dipisahkan sebagaimana mustahil wujudnya siang tanpa matahari, begitulah juga tidak akan sah dan lengkap solat seseorang itu tanpa membaca al-Quran iaitu surah al-Fatihah.
“Memandangkan bulan Ramadan al-Mubarak akan tiba tidak lama lagi, sudah tentu kita ingin menjadikan Ramadan pada tahun ini adalah Ramadan terbaik berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jika kita memperbaiki mutu solat dan al-Quran kita, secara tidak langsung, Ramadan kita akan turut bertambah mutu dan kualitinya,” katanya lagi.
Irfan turut berkongsi beberapa kelebihan bagi mereka yang mendampingi al-Quran.
“Sesiapa yang membaca al-Quran tidak hanya akan selamat di dunia malah akan mendapat pertolongan di hari akhirat selain tercegah daripada berbuat perkara yang melalaikan.
“Bagi mereka yang membaca al-Quran meskipun merangkak akan mendapat dua ganjaran iaitu pertama sebagai pembacanya dan yang keduanya disebabkan kepayahannya dalam membaca al-Quran,” ujarnya.
Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah Pelancaran Tabung Aktiviti Ihya Ramadan dan penyerahan 45 unit 'Lazy Chair' dari Pusat Islam Kampus Kesihatan kepada Unit Kejururawatan Hospital USM.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pusat Islam Kampus Kesihatan kerana berjaya menganjurkan Kempen Bulan Solat dan Cakna Al-Quran dengan pelbagai pengisian aktiviti yang sangat menarik selain berharap agar semua warga kampus dan komuniti sekitar dapat sama-sama mengambil bahagian dalam program-program yang disediakan.
Turut hadir ialah Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Sahibus Samahah Dato’ Haji Mohamad Shukri Muhamad; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset), Hospital USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Timbalan Pengarah, Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Ustazah Amira Abdul Satar @ Ismail dan Ketua Penyelia Jururawat Hospital USM, Maimunah Hasan.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 295