KESELAMATAN DAN KESEJAHTERAAN WARGA SENTIASA MENJADI KEUTAMAAN
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Disember 2021 - "Keselamatan dan kesejahteraan warga sentiasa menjadi keutamaan", demikian pesanan Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim yang meninggalkan kesan mendalam kepada sebahagian warga Hospital USM semasa majlis ringkas hari terakhir beliau bertugas, hari ini.

Pertama kali menjejakkan kaki ke Kampus Kesihatan pada tahun 1991 kerana menghadiri temuduga sebagai pensyarah, tidak pernah terlintas di fikiran beliau untuk memegang jawatan-jawatan penting sebagai Dekan, Pengarah Kampus dan Pengarah Hospital sepanjang perkhidmatan.
Diuji dengan penularan wabak COVID-19 semasa memegang jawatan sebagai Pengarah Hospital USM, tanggungjawab beliau bukan mudah terutama dalam memastikan semua pihak termasuk pesakit dan pelanggan yang berurusan di Hospital USM selamat serta penularan wabak tersebut tidak berleluasa di fasiliti perawatan.
Beliau yang menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 31 Disember 2021 mengharapkan tampuk pengurusan baharu akan meneruskan usaha mempertingkatkan perkhidmatan Hospital USM ke tahap yang lebih baik.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 106