KESIHATAN SEKSUAL: ELAK STIGMA 'TABOO', BENTUK INSTITUSI KELUARGA HARMONI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Disember 2024 - Kesihatan seksual dan kesejahteraan rumah tangga merupakan dua (2) aspek penting dalam membentuk institusi keluarga yang harmoni dan kukuh.
Walaupun topik ini sering dianggap sensitif, ia sebenarnya adalah teras utama dalam membina hubungan suami isteri yang bahagia dan berkekalan.
Pada masa kini, terdapat peningkatan kadar perceraian dalam kalangan pasangan keluarga, di mana masalah kesihatan seksual yang terpendam mungkin menjadi salah satu faktor penyumbang kepada isu tersebut selain faktor-faktor lain yang turut mempengaruhi keharmonian rumah tangga.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, dalam ucapannya berkata, kesihatan seksual dan kesejahteraan rumah tangga adalah aspek yang sering kali dianggap ‘taboo’ atau pantang larang untuk dibincangkan terutama dalam masyarakat kita.
"Dengan adanya Program Kekeluargaan: Kesihatan Seksual dan Rumah Tangga (KSR) seperti hari ini diharap dapat memberi pendedahan yang lebih luas kepada masyarakat tentang betapa pentingnya menjaga kesihatan seksual untuk memelihara kesejahteraan keluarga.
"Program memberi manfaat yang besar dalam memperkukuh hubungan rumah tangga dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
"Terdapat beberapa sebab utama mengapa program ini harus diberi perhatian antaranya adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan seksual dalam kehidupan berumah tangga," katanya pada majlis perasmian program tersebut di Bilik Tutorial, Jabatan Perubatan Keluarga, di sini hari ini.
Tambah Shaiful Bahari, isu ini sering kali diabaikan atau dipandang remeh sedangkan ia adalah aspek yang sangat penting dalam kesejahteraan rumah tangga.
"Program ini juga dapat membantu mengelakkan salah faham dan konflik dalam hubungan suami isteri dengan memberi pemahaman yang betul mengenai isu seksual dan psikologi pasangan.
"Saya yakin, melalui pendidikan yang disampaikan dalam program ini, kita dapat melahirkan generasi celik kesihatan seksual dan bertanggungjawab.
"Para peserta yang hadir pada hari ini akan lebih memahami betapa pentingnya menjaga keharmonian dalam kehidupan berumah tangga dan kesihatan seksual," jelasnya lagi.
Selain itu, menurut Shaiful Bahari, kesedaran dan pengetahuan yang diperoleh daripada program ini bukan sahaja dapat membantu menangani isu-isu dalaman rumah tangga, malah ia akan menjadi asas kepada masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera.
"Program ini bukan sahaja membuka ruang untuk perbincangan ilmiah tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
"Dengan adanya ceramah dan bengkel yang disampaikan oleh pakar-pakar dalam bidang ini, saya percaya banyak isu dan persoalan akan dapat diperjelaskan nanti.
"Justeru, saya berharap agar para peserta memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk menimba ilmu dan berkongsi pengalaman yang dipelajari dengan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian," ujarnya.
Seramai tujuh (7) panel jemputan membentangkan pelbagai tajuk dalam bidang kepakaran masing-masing, termasuk beliau sendiri yang membentangkan isu 'Fahami Psikologi dan Seksual Lelaki Elak Konflik'.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto:Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 157