USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Mac 2023 - Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) merupakan entiti tunggal badan beruniform di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM). Penubuhan badan beruniform seperti Kor SISPA di universiti sebagai kursus kokurikulum adalah bertujuan untuk memperkasa kemahiran insaniah (soft skill) dalam kalangan pelajar.

Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM yang juga Timbalan Komandan Kor SISPA Kampus Kesihatan, Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, pasukan beruniform merupakan salah satu cabang yang memberi nilai tambah kepada para pelajar di samping penekanan kepada pencapaian akademik yang cemerlang.
"Secara spesifiknya, kemahiran membentuk semangat kerja berpasukan, memupuk nilai jati diri dan cintakan tanah air dapat dipupuk melalui ko-kurikulum Kor SISPA.

"Selain itu, pelajar yang terlibat dalam Kor SISPA biasanya mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi, berdaya saing, cakna pada komuniti sekeliling, mampu berkongsi ilmu dan kemahiran serta pengalaman khususnya dalam aspek penjagaan diri, kesihatan fizikal dan mental semasa bencana," ujarnya.
Tambah Shaharum, bagi pihak pengurusan Kampus Kesihatan USM, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) khususnya APM negeri Kelantan dan pasukan yang banyak membantu sepanjang kewujudan Kor SISPA Kampus Kesihatan USM sekaligus melahirkan pasukan yang dianggotai petugas kesihatan.

“Kewujudan Kor SISPA ini ibarat meletakkan golongan pakar kesihatan sebagai barisan hadapan yang kukuh untuk menghadapi sebarang krisis wabak atau bencana yang mendatang.
“Saya juga berharap agar kerjasama antara USM Kampus Kesihatan dan APM negeri Kelantan semakin erat sebagai tanda kebersamaan antara agensi dan menjadikan platform ini sebagai peluang untuk merencana pelbagai aktiviti atau program yang lebih hebat pada masa akan datang,” katanya lagi.


Shaharum hari ini menerima kunjungan hormat Pengarah APM negeri Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab dan rombongan ke Kampus Kesihatan selain menerima Watikah Pegawai Kehormat APM yang disampaikan kepada beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kampus Kesihatan USM yang juga Ajutan Kor SISPA, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Hafiz Assad Zakaria, Pegawai-pegawai APM negeri Kelantan dan Pegawai-pegawai Bersekutu APM Kampus Kesihatan USM.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman