Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KUALITI PEPERIKSAAN SARJANA KLINIKAL TERJAGA WALAU DALAM NORMA BAHARU HAPUS KEGUSARAN PELAJAR

 

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 JUN 2021 - “Dengan tertangguhnya Peperiksaan Klinikal Siswazah pada Mei tahun lalu ekoran gelombang kedua pandemik COVID-19 yang melanda negara, peristiwa itu banyak mengajar pihak pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menangani isu-isu yang timbul termasuk mengambil keputusan tentang peperiksaan demi menjaga kualiti peperiksaan walaupun dalam keadaan norma baharu” demikian kata Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad.

SAVE 20210603 135510

Menurutnya, masih ada beberapa cara yang digunakan oleh pusat pengajian demi mengekalkan kualiti sesebuah peperiksaan yang sama walaupun USM melakukan desentralisasi. Kaedah peperiksaan klinikal secara desentralisasi telah diamalkan hampir oleh semua kepakaran yang menjalankan peperiksaan pada kali ini dan ia juga telah dipersetujui secara bersama untuk turut diamalkan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain termasuk Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memandangkan setiap kepakaran klinikal ini dijalankan secara bersama, serentak bagi mengekalkan kualiti dan pada masa yang sama mematuhi Prosedur Operasi Standard yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita masih boleh mendapatkan pemeriksa luar dari kawasan yang berhampiran dengan pusat-pusat tesebut. Contohnya di USM, kita mendapat pemeriksa luar iaitu dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Hospital Sultanah Nur Zahirah, Hospital Tengku Ampuan Afzan dan juga pemeriksa dari Fakulti Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan.

SAVE 20210603 135500

“Pemeriksa yang boleh hadir secara fizikal ini adalah disebabkan mereka berada di zon yang sama pada waktu tersebut. Jadi rentas daerah dan negeri pun tidak banyak berlaku dan dari segi permit juga tiada masalah kerana ini bertujuan untuk peperiksaan pakar klinikal sepertimana yang dibenarkan oleh MKN,” ujarnya.

Tambah Irfan, memandangkan program yang unik ini perlu melibatkan pesakit walaupun dalam keadaan pandemik, kualiti peperiksaan dikekalkan dengan mengambil pesakit luar dari USM juga.

"Dalam sesetengah bidang kepakaran seperti Otorinolaringologi dan Oftalmologi yang memerlukan pemeriksaan pesakit dalam jarak dekat, selain pematuhan SOP yang ketat dari segi saringan pesakit, mereka juga perlu menjalani ujian calitan (swab test) Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) sebagai salah satu kaedah saringan dan keputusan ujian adalah negatif.

SAVE 20210603 135451

“Kita juga ada mengambil pesakit dari hospital-hospital daerah yang mempunyai pakar-pakar yang terlibat. Contohnya kita mengambil pesakit dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Hospital Tanah Merah, Hospital Kuala Krai dan juga pesakit-pesakit yang dirujuk dari hospital luar Kelantan. Dari segi kehadiran pesakit juga tidak timbul masalah kerana mereka memberikan kerjasama yang memberangsangkan, membuktikan keyakinan mereka terhadap sistem yang dijalankan dan langkah-langkah proaktif yang telah diambil oleh pihak USM.

“Jadi, dari segi pesakit dan pemeriksa pun tidak berlaku sebarang masalah kerana kita menghadkan pergerakan ke Lembah Klang dan kita juga tidak perlu ke sana. Apa yang paling penting adalah calon dan pemeriksa tidak perlu keluar beramai-ramai untuk datang ke sini,” jelasnya lagi.

Irfan berkata, sebagai nilai tambah juga, USM menjemput pemeriksa dari luar USM iaitu dari Lembah Klang melalui atas talian. Prasarana teknologi maklumat yang baik di PPSP dan USM membolehkan kaedah peperiksaan dalam norma baharu ini diterapkan tanpa banyak masalah.

“Perkara ini betul-betul baharu kerana bukan pembentangan viva atau temuduga sahaja boleh dibuat secara maya tetapi peperiksaan klinikal ini juga boleh dijalankan secara atas talian dan mendapat maklum balas yang sangat positif dari pemeriksa luar yang terlibat.

“Sesi soal jawab oleh pemeriksa kepada calon juga berlangsung seperti biasa dan pemberat markah dalam penilaian juga adalah sama dengan pemeriksa yang hadir secara bersemuka,” ujar beliau lanjut.

Teks: Azma Azrah Azie Ab Aziz (Pelajar Praktikal USIM) & Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Kamaruzaman Yusof

  • Created on .
  • Hits: 144