USM, KUBANG KERIAN, 9 Mac 2020 - “Tangan kita merupakan anggota badan yang paling utama menyebabkan penyebaran virus kepada badan sendiri atau orang lain,” demikian kata Pegawai Perubatan, Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi (UKJEH) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Fauziah Ismail.
Menurut beliau, UKJEH sentiasa menekankan penggunaan ‘alcohol sanitizer’ dan teknik membasuh tangan di samping pemakaian topeng muka yang betul bagi mengelakkan jangkitan.
“Jika kita batuk atau bersin dan tidak melakukan teknik pencucian tangan yang betul, tangan kita bertindak sebagai pembawa kuman yang boleh menjangkiti diri sendiri serta orang lain walaupun memakai topeng muka.
“Pemakaian topeng muka menjadi efektif jika melakukan teknik mencuci tangan dengan cara yang betul sahaja,” jelasnya semasa menyampaikan taklimat dalam Sesi Pendengaran Awam (townhall) di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, di sini semalam.
Tambah Fauziah, cara yang betul untuk membuka topeng muka adalah dari belakang tanpa menyentuh bahagian hadapan kerana sudah tercemar dengan pelbagai jenis kuman seterusnya topeng dibuang ke dalam tong sampah yang bertutup dan kita perlu mencuci tangan dengan segera menggunakan ‘hand sanitizer’.
“Apabila kita pergi melancong, perlu diingatkan etika batuk dan bersin ketika berada dalam khalayak ramai seperti memakai topeng muka serta berpaling muka daripada orang lain ketika batuk atau bersin,” katanya lagi.
Nasihat Fauziah kepada pesakit yang disyaki dijangkiti Covid-19 agar sentiasa mematuhi arahan kuarantin, tidak menggunakan ‘e-hailing’, menggunakan tandas berasingan, kerap mencuci tangan, tidak berkongsi peralatan dan perlulah menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain.
Teks: Wan Nur Anis Noor Nasrome (Pelajar Praktikal USM) Suntingan: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Anis Aznirizal Zainol