USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Ogos 2021 - Tidak dinafikan lagi bahawa penyusuan badan merupakan cara paling efektif untuk memastikan kesihatan dan perkembangan bayi. Menyusu anak dengan susu badan bukan hanya seruan kerajaan, namun ianya merupakan tuntutan dalam agama Islam.
Tahun 2021 merupakan tahun ke-29 Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia bertemakan ‘Lindungi Penyusuan Susu Ibu Tanggungjawab Bersama’.
Biarpun dalam situasi yang menghadkan segala aktiviti, namun Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2021 peringkat Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) tetap diraikan secara sederhana apabila Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim menyantuni para ibu dengan mengedarkan sumbangan kepada ibu-ibu yang berada di wad bersalin Hospital USM.