MAHASISWA MUALAF TERUJA KALI PERTAMA SERTAI IBADAH KORBAN DI USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN 19 Jun 2024 - Seorang mualaf yang merupakan penuntut tahun akhir program Doktor Perubatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), menzahirkan rasa terharu dan bersyukur, pertama kali dapat menyertai Program Ibadah Korban dan Akikah Peringkat Kampus Kesihatan 2024 di pekarangan Pusat Islam, hari ini.
Noah Oii Weng Rong, 24, yang berasal dari Pulau Pinang dan baharu sahaja dua (2) bulan memeluk Islam berkata, dia berasa teruja dan beruntung kerana dapat sama-sama menyertai acara melapah dan memotong daging korban dalam kampus sendiri.
"Usaha pihak USM amat baik dalam penganjuran program seperti ini dan saya bersyukur dapat menyertainya.
"Pengalaman ini turut mengingatkan saya mengenai sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail atas suruhan Allah SWT yang kemudiannya diganti dengan haiwan sembelihan lain.
"Maka aktiviti korban ini turut mewujudkan keinsafan dalam diri saya, bahawa erti pengorbanan itu sendiri amat besar bagi umat Islam dan perlu dihayati dengan sebaik-baiknya," katanya ketika ditemu bual.
Program yang dianjurkan oleh Pusat Islam, Kampus Kesihatan ini turut dimeriahkan dengan penyertaan seramai 50 peserta yang terdiri daripada staf dan komuniti setempat yang mengambil peluang untuk melaksanakan ibadah korban dan akikah pada tahun ini.
Sementara itu, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, penyertaan pada tahun ini lebih meriah kerana 10 ekor lembu dan 11 ekor kambing ditumbangkan sebagai sembelihan.
"Saya lihat semua pihak termasuk staf dan sukarelawan memberi kerjasama yang baik dan bersemangat di samping sanggup berkorban masa dan tenaga walaupun aktiviti korban dijalankan pada hari bekerja.
"Kerjasama seperti inilah yang patut dipupuk bagi mengeratkan ukhuwah antara warga USM," ujarnya.
Tambah Shaiful, program ini juga bagi mengingati peristiwa yang penuh makna sebagai satu penghormatan kepada tradisi yang telah diwarisi dari zaman Nabi Ibrahim AS.
“Ia bukanlah sekadar satu tindakan ibadah semata-mata tetapi ingatan tentang pengorbanan, kesetiaan dan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi kepada perintah Allah SWT.
“Hari Raya Aidiladha bukanlah sekadar berkorban dan menyembelih haiwan ternakan, tetapi lebih kepada penyerahan diri secara mutlak kepada kehendak Allah SWT.
“Ia mengajar kita untuk sentiasa bersedia mengorbankan apa jua yang kita cintai, baik dari segi harta, tenaga, waktu bahkan pengorbanan diri sendiri demi menegakkan kebenaran dan bukti ketaatan kepada-Nya. Malah ia juga mendidik kita tentang erti kesyukuran, kebersamaan, kasih sayang dan kesediaan untuk berkongsi rezeki antara satu sama lain,” jelasnya lagi.
Selain agihan daging kepada para peserta, jawatankuasa program juga turut memasak daging korban untuk diagihkan kepada 300 orang termasuk pelajar, staf dan komuniti yang juga merupakan kariah Masjid Mukim Kampus Kesihatan USM.
Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Profesor Madya Dr. Mohd Fadhli Khamis; Pengarah Eksekutif Usains Healthcare Sdn. Bhd., Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim dan Timbalan Pengarah, Pusat Islam Kampus Kesihatan, Amira Abd Sattar@ Ismail.
Teks: Rosalwani Che Soh@Yusoff / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 478