Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

MASJID MUKIM KAMPUS KESIHATAN USM MULA LAKSANA SOLAT JUMAAT 40 ORANG

SOLAT JUMAAT 1

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Jun 2020 - Masjid Mukim Kampus Kesihatan USM mula melaksanakan solat Jumaat berjemaah dengan 40 makmum mulai hari ini mengikut garis panduan seperti surat hebahan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

SOLAT JUMAAT 2

Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Ustaz Rosdian Hassan, mengambil kira Masjid Mukim Kampus Kesihatan terletak dalam kawasan kampus yang turut menempatkan Hospital USM, Jawatankuasa Pengurusan Masjid diminta menyaring senarai jemaah terlebih dahulu dan jemaah yang dikenalpasti perlu membuat deklarasi bebas risiko Covid-19.

"Selain itu, jemaah juga disarankan mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah sendiri, menjalani pemeriksaan suhu badan serta menggunakan sanitasi tangan sebelum masuk ke masjid.

SOLAT JUMAAT 3

"Jemaah yang dibenarkan ialah yang berumur kurang 70 tahun, saringan suhu badan kurang daripada 37.5 C, tidak mengalami apa-apa gejala berkaitan Covid-19 seperti demam, batuk, selesema serta simptom masalah pernafasan dan penjarakan sosial satu (1) meter antara jemaah juga perlu dipatuhi," ujarnya.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu, solat fardhu berjemaah termasuk solat Jumaat di seluruh masjid serta surau di negeri Kelantan hanya dibenarkan kepada 4 orang sahaja terdiri daripada imam tua, imam muda, bilal dan siak.

SOLAT JUMAAT 4

Namun, kebenaran bilangan jemaah ditambah kepada 12 orang menjelang Aidilfitri lalu dan bermula hari ini MAIK membenarkan semua masjid di negeri Kelantan melaksanakan solat Jumaat dengan 40 orang jemaah setelah mendapat nasihat dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambah Rosdian, solat Jumaat pada hari ini turut dihadiri Pengarah Kampus Kesihatan yang juga Pengarah Hospital USM, Profesor Dato' Dr Ahmad Sukari Halim, ketua-ketua jabatan, ahli jawatankuasa masjid serta ahli kariah terpilih.

SOLAT JUMAAT 5

"Pengurusan Masjid Mukim Kampus Kesihatan juga akan memperkenalkan kaedah pendaftaran jemaah mulai solat Jumaat akan datang bagi memberi peluang kepada ahli kariah yang lain menunaikan solat Jumaat," katanya lagi.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / foto: Muhammad Amin Syafiq Sakri

  • Created on .
  • Hits: 464