Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

MISI BANTUAN PASCA BANJIR TANDA KEBERSAMAAN USM DAN KOMUNITI

RANTAU PANJANG, KELANTAN, 10 Mac 2022 – Tahun 2022 menyaksikan Malaysia telah mengalami beberapa episod banjir yang agak teruk dengan Kelantan menjadi antara negeri yang terkesan dilanda bencana alam itu.

Atas keprihatinan terhadap nasib mangsa-mangsa banjir di Rantau Panjang, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) terpanggil untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas dalam musibah itu.

74f5ae27-5a51-4059-b877-8373c2786c8c.jpg

 

Pengarah Program Misi Bantuan Pasca Banjir Kampus Kesihatan USM, Asheef Barkhia Yahya berkata, bagi meringankan beban dan kesengsaraan mangsa banjir, warga Kampus Kesihatan USM sedaya upaya menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang terjejas di Kampung Tersang, Kampung Gual Tok Deh, Kampung Banggol Kulim, Kampung Padang Bukit, Kampung Gual Nibong dan Kampung Kubang Rambutan, di sini.

“Program ini merupakan kerjasama antara Kampus Kesihatan USM, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengumpul sumbangan berupa barangan keperluan harian, telekung solat, sejadah, kain pelikat dan Al -quran untuk diagihkan kepada 300 keluarga di kampung-kampung berkenaan.

 

1db68794-a182-4b2b-9465-c09c76bfa789.jpg

“Banjir yang melanda baru-baru ini agak mengejutkan kerana air naik terlalu cepat ekoran hujan lebat turun beberapa hari sehingga kebanyakan penduduk sukar mendapatkan bekalan makanan sebagai persediaan.

“Sumbangan ini diharap dapat memberikan sedikit kelegaan serta membantu mengurangkan beban yang mereka hadapi ekoran kebanyakan peralatan rumah dan barang berharga musnah ditenggelami air,” katanya.

 

aac677cc-7ad6-4523-8d3e-107b79a298d8.jpg

Sementara itu, Pemangku Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin pula berkata, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul kesengsaraan itu.

“Apa yang kita lihat belum tentu mencerminkan apa yang sebenarnya mereka rasa. Namun, tangan yang menghulurkan bantuan memberi seribu harapan kepada mereka yang amat memerlukan.

 

4a511a5b-c71a-4290-8417-09ab44ab4738.jpg

“Saya kagum dan bersyukur dengan kesungguhan warga Kampus Kesihatan yang turut menyertai misi bantuan ini bersama pasukan Pusat Islam USM bagi membantu mereka yang terkesan banjir di Rantau Panjang,” ujarnya.

Shaharum turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang menghulurkan sumbangan tidak kira dari segi wang ringgit mahupun peralatan dalam memastikan program ini dapat berjalan dengan lancar.

 

3d31270f-dde6-445d-9c3e-e9fa0a6af368.jpg

 

“Hulurkan tangan, ringankan beban, tahniah dan terima kasih buat semua. Semoga Allah jualah yang akan membalas bakti kalian serta teruskanlah sifat dan sikap terpuji ini,” katanya lagi.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 162