USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Mac 2022 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, FASc. merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Kampus Kesihatan yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pengurusan wabak COVID-19 sepanjang tahun 2020 dan 2021.
Menurutnya, khidmat bakti dan sumbangan tenaga yang dihulurkan oleh semua pihak sangat bermakna dalam memastikan kelangsungan pengurusan staf, pelajar serta pelanggan berjalan dengan lancar.
“Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik dan sumbangan anda semua dan saya berharap agar ia menjadi saham untuk anda di akhirat kelak.
“Semoga pandemik COVID-19 segera lenyap dan kita semua dapat kembali meneruskan kehidupan seperti sediakala,” katanya.
Faisal Rafiq hari ini menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas Nerve Centre Kampus Kesihatan USM bagi tahun 2020 dan 2021.