USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Mac 2023 – Naib Canselor (NC) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyeru warga Kampus Kesihatan agar sentiasa mementingkan nilai kebersamaan dengan mereka yang kurang bernasib baik.
Menurut beliau, menunaikan ibadat berpuasa merupakan salah satu cara membolehkan golongan berkemampuan menghayati dan merasai sendiri keperitan yang dirasai oleh golongan kurang bernasib baik iaitu terpaksa berlapar kerana mereka tidak mempunyai wang untuk membeli makanan walaupun sekadar menu rahmah.
“Majlis berbuka puasa yang diadakan setiap hari pada bulan Ramadan anjuran Pusat Islam, Kampus Kesihatan juga merupakan salah satu inisiatif yang baik untuk membantu semua lapisan masyarakat kampus yang terdiri daripada siswa siswi muslim dan bukan muslim termasuklah pelajar antarabangsa, ahli kariah serta staf USM untuk berukhuwah dan berinteraksi.
"Begitu juga projek Gerobok Syurga yang menyediakan makanan percuma kepada pelajar yang kurang berkemampuan setiap hari.
“Manfaatkanlah masa yang begitu terhad ini untuk menimba sebanyak mungkin keberkatan di bulan Ramadan dengan cara melipat gandakan amalan beribadah terutamanya amalan menderma,” katanya ketika menyampaikan ucapan dan merasmikan Majlis Iftar Perdana Naib Canselor bersama Warga Kampus Kesihatan, hari ini.
Dalam majlis yang sama turut berlangsung beberapa penyampaian sumbangan iaitu sumbangan zakat oleh USAINS Holding Sdn. Bhd. berjumlah RM24,000 kepada 80 orang pelajar asnaf Kampus Kesihatan dan sumbangan kepada Tabung Aktiviti Ihya Ramadan berjumlah RM1,000.
Pusat Islam Kampus Kesihatan juga turut menyampaikan Bantuan Sara Hidup Pelajar daripada Tabung Amil Zakat berjumlah RM108,600 kepada 362 orang pelajar selain sumbangan 'Back To School' berupa peralatan sekolah kepada 20 orang anak ahli kariah Masjid Mukim Kampus Kesihatan.
Sumbangan Aidilfitri turut diberikan kepada pelajar asnaf dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai dan sumbangan Kit Maidaturrahman yang berupa set keperluan dapur kepada staf dan ahli kariah terpilih.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Pusat Perancangan Institusi dan Strategik, Profesor Dr. Asrul Akmal Shafie; Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Madya Dr. Mohd Fadhli Khamis; Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Profesor Madya Dr. Aziah Ismail dan ketua-ketua jabatan Kampus Kesihatan.
Teks: Mohd Hafiz Ya'acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman