Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

NUR SUHAILA SYUKUR DAN TERUJA TERPILIH DALAM KUMPULAN PERTAMA PENERIMA VAKSIN DI HOSPITAL USM

 

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Mac 2021 – “Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana terpilih dalam kumpulan pertama yang mana saya memang menunggu dan sangat mengharapkan peluang untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19,” ujar Penyelaras Klinik Saringan Infeksi (SRI) KRK , Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nur Suhaila Idris.

SAVE 20210301 164424

Nur Suhaila merupakan salah seorang penerima awal suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Hospital USM. Proses pemberian vaksin yang bermula pada hari ini di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM melibatkan kakitangan kesihatan dan petugas barisan hadapan USM.

Beliau merupakan individu yang memainkan peranan penting menyelaras perkhidmatan Klinik SRI-KRK dalam membantu mengekang penularan wabak COVID-19 sejak mula dikesan awal 2020 lalu.

SAVE 20210301 164448

Menurutnya, pandemik COVID-19 adalah sesuatu yang baharu dan telah memberi kesan kepada semua sektor kesihatan termasuk di klinik SRI-KRK sebagai ’first point of care’ dalam usaha mengawal penularan jangkitan COVID-19 bukan sahaja kepada pesakit dan kakitangan USM tetapi termasuk pelajar di Kampus Kesihatan.

"Ini merupakan satu cabaran yang amat besar buat kami khususnya petugas Klinik SRI-KRK. Pengorbanan semua petugas Klinik SRI-KRK yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri mereka untuk menjadi benteng utama tidak mampu saya balas.

"Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah semasa kami bersama-sama ‘multidiciplinary’ yang lain bertungkus lumus mengawal selia untuk mengelak penularan di dalam kampus. Kebersamaan pelbagai pihak terutama sokongan hebat daripada Naib Canselor USM, Pengarah Hospital USM dan Ketua Jabatan Perubatan Keluarga telah menyuntik semangat kami menggalas amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi,” katanya.

SAVE 20210301 164505

Nur Suhaila turut berbangga dengan pasukan vaksinasi Hospital USM kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kepada petugas kesihatan dan barisan hadapan USM.

Beliau menyifatkan perjalanan program suntikan vaksin pada hari ini amat mantap, teratur dan amat efektif dengan pematuhan SOP dan mengamalkan norma baharu.

Selain itu, Nur Suhaila turut menasihati masyarakat di luar sana agar mendaftar dan mengemaskini aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Vaksinasi ini adalah amanah yang patut kita laksanakan bersama bagi melindungi diri sendiri dan orang lain. Sebagai rakyat yang bertanggunggjawab kita perlu menunaikan amanah ini demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.

“Saya sarankan kepada semua, dapatkan maklumat vaksinasi yang tepat daripada sumber yang boleh dipercayai dan InsyaAllah kita mohon doa agar direstui Allah atas segala usaha kita”, ujarnya.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Zamri Husain

  • Created on .
  • Hits: 107