USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Julai 2022 – Persatuan Alumni Doktor (PADU) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Hospital USM telah menganjurkan program ‘Houseman Surviving Skill and Career Development’ kepada para Pegawai Perubatan Siswazah seluruh Malaysia, hari ini.
Menurut Penyelaras Program, Profesor Madya Dr. Azriani Abdul Rahman, program kali pertama anjuran PADU itu diadakan dalam dua kaedah iaitu secara bersemuka di Auditorium Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital USM dan secara maya untuk yang berada diluar USM.
“Untuk program pertama ini, kami mensasarkan penyertaan seramai 100 orang secara bersemuka dan seramai mungkin secara maya dari seluruh Malaysia.
“Matlamat utama program ini diadakan adalah untuk membantu Pegawai Perubatan Siswazah dalam menangani cabaran serta pengurusan diri antaranya pengurusan stres ketika bekerja dan peluang kerjaya selepas tamat bergelar Pegawai Perubatan Siswazah,” katanya.
Tambah Azriani, beberapa lagi program susulan akan diadakan selepas ini bagi memberi sokongan secara berterusan seperti seminar secara berkala, kursus pengurusan penampilan diri dan riadah.

Sementara itu, Presiden PADU, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah, pula berkata, program itu tercetus apabila ramai Pegawai Perubatan Siswazah mengalami pelbagai masalah sehingga ada yang tidak dapat menghabiskan tempoh percubaan sebagai doktor selama dua tahun.
“Banyak cabaran yang perlu mereka tanggung dan menjadi tanggungjawab kami untuk sama-sama membantu mereka kerana jika mereka tidak menghabiskan tempoh sebagai Pegawai Perubatan Siswazah maka tempoh lanjutan terpaksa disambung.

“Saya berharap Pegawai Perubatan Siswazah akan lebih faham skop tugas yang diberikan dan dapat memberikan sepenuhnya komitmen kepada pesakit kerana ia adalah amanah sebagai doktor untuk menyelamatkan nyawa malah ia juga dituntut dalam agama.
"Jangan pula beranggapan tugas yang diberikan adalah satu buli tetapi anggaplah ia sebagai cabaran untuk kita berjaya serta dihormati," katanya.
Menurut Jafri, program sebegini juga diharap menjadi titik permulaan untuk Pegawai Perubatan Siswazah melaksanakan kerja mereka dengan lebih baik sekaligus memberi impak yang positif kepada USM dan pesakit khasnya.

Program ‘Houseman Surviving Skill and Career Development’ ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Klinikal Hospital USM, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria mewakili Pengarah Hospital USM.
Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman