Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Program 'Outreach' Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) antara yang menyumbang kepakaran dalam usaha melakukan saringan kesihatan bagi pengesanan awal penyakit dalam kalangan penduduk luar bandar sempena program KPT Prihatin Keluarga Malaysia Negeri Johor.
Program yang berlangsung selama dua hari pada 5 dan 6 Mac di Dewan Futsal Taman Nelayan, Mersing dan Taman Cahaya, Sebatang Pulai, Pontian itu bertujuan untuk memberi pendedahan, kefahaman dan kesedaran dalam menjaga kesihatan bagi mengurangkan morbiditi dan mortaliti penduduk Malaysia.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad turut meluangkan masa melawat 'booth' Hospital USM sambil bertanya mengenai pemeriksaan asas kesihatan serta pameran berkenaan penjagaan luka dan stoma.
Pasukan medikal Hospital USM juga turut berpeluang menyertai Datuk Seri Dr. Noraini menyantuni dan ziarah kasih dari rumah ke rumah penduduk sekitar Pontian.