PELAKSANAAN 'CODE BLUE' BANTU ORANG RAMAI YANG ALAMI SERANGAN JANTUNG
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Mac 2020 - ‘Code Blue’ atau kod biru merupakan kod kecemasan standard yang digunakan seluruh dunia untuk pengaktifan prosedur rawatan ‘cardiorespiratory arrest’ segera yang efisien melibatkan pengesanan, penghebahan serta pengaktifan rangkaian pasukan medik dan paramedik untuk rawatan segera di hospital.
Menurut Timbalan Pengarah Operasi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Mohd Imran Yusof, keperluan sistem kod biru mempunyai pasukan yang terlatih serta komited di samping menyediakan peralatan yang lengkap dan dapat meningkatkan kecekapan staf sama ada warga klinikal atau bukan klinikal dalam kemahiran ‘Advanced Cardiac Life Support (ACLS) dan penggunaan Automated External Defibrillator (AED).
“Program sistem ‘code blue’ ini diadakan bagi mengurangkan risiko kematian selepas serangan jantung di dalam kawasan hospital atau Kampus Kesihatan.
“Pihak pengurusan Hospital USM bersetuju melaksanakan pengaktifan ‘code blue’ bergantung kepada waktu berlakunya kes tersebut sama ada pada waktu pejabat atau di luar waktu pejabat,” jelasnya ketika penyampaian taklimat dalam Sesi Pendengaran Awam (townhall) yang berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, di sini.
Tambah beliau, sekiranya sesiapa menemui individu yang mengalami tanda-tanda serangan jantung, mereka perlu segera membuat panggilan kepada operator ‘code blue’ menerusi 09-7673030 melaporkan lokasi dan zon kejadian berlaku.
“Operator yang bertugas akan membuat hebahan melalui ‘public address system’ atau ‘PA System’ ke seluruh kawasan hospital ditujukan kepada ‘Primary Response Team’ dan ‘Secondary Response Team’ yang bertugas pada hari berkenaan.
“Primary Response Team akan ke tempat kejadian dan melihat keadaan mangsa untuk memberi rawatan segera sebelum merujuk ke Jabatan Kecemasan tetapi sekiranya pesakit tidak mengalami serangan jantung akan dikategorikan sebagai kes kecemasan lain”, ujarnya lagi.
Tambah Imran, keperluan ‘code blue’ di Hospital USM amat penting kerana ia melibatkan mangsa yang mengalami serangan jantung dalam kawasan USM bukan sahaja daripada warga klinikal tetapi juga orang awam yang menggunakan perkhidmatan dan fasiliti USM.
Teks: Wan Nur Anis Noor Nasrome (Pelajar Praktikal USM) Suntingan: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 1326