KUALA KRAI, KELANTAN, 10 Jun 2023 - Lebih 70 orang warga emas Kampung Bahagia mendapat manfaat daripada Program Bersama Warga Emas anjuran Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), ‘Family Medicine Specialist Kelantan’, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai dan ‘Ethos Healthcare’.

Kampung Bahagia, Kuala Krai merupakan kampung angkat Jabatan Perubatan Keluarga dan 'Family Medicine Association' (FAMOUS) yang mana beberapa wakil penduduk dilatih untuk mengendalikan pemeriksaan kesihatan mudah seperti tekanan darah dan kandungan gula dalam darah. Mereka dijadikan agen komuniti supaya penduduk yg dahulunya lebih cenderung dengan perubatan tradisional akan lebih mendekati perubatan moden.
Lokasi Kampung Bahagia yang terletak di seberang Sungai Kelantan dan pengangkutan rutin penduduk dengan bot menjadikan akses kepada rawatan pakar agak terhad. Justeru, USM menerusi program ini membawa pasukan termasuk doktor pakar bagi mengenal pasti keperluan rawatan penduduk dan mengatur selanjutnya mengikut keperluan.

Bertemakan 'Jangan Lupa yang Lama, Hargai Warga Emas', program ini memfokuskan aspek penyediaan perkhidmatan kesihatan kepada golongan warga emas.
Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, seiring dengan peningkatan usia, golongan warga emas lebih terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, masalah penglihatan, kesukaran mengimbangkan badan dan kelemahan otot.

“Program ini diadakan bertujuan memberi perkhidmatan kesihatan kepada warga emas kerana ada dalam kalangan mereka menghadapi kesulitan untuk pergi ke klinik disebabkan masalah pengangkutan dan kekangan fizikal.
“Melalui program ini, USM mengambil inisiatif mengadakan perkhidmatan lawatan ke rumah bagi memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada warga emas terlantar selain pemeriksaan mata percuma dan penilaian risiko jatuh turut dilaksanakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Sementara itu, Pensyarah Perubatan, PPSP merangkap Pengarah Program, Profesor Madya Dr. Nani Draman pula berkata, di samping meraikan warga emas, program ini juga turut memberi kesedaran berkenaan keperluan menjaga diri supaya mereka kekal sihat.
"Sembilan (9) orang warga emas telah dikenal pasti merupakan pesakit yang terlantar dan menghidap penyakit kronik lain.

"Kami mengambil inisiatif menziarahi mereka untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan jika ada keperluan, pesakit akan dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran," ujarnya.
Menurut Nani, antara aktiviti lain yang turut diadakan ialah ceramah penjagaan kesihatan dan senamrobik warga emas selain turut menyumbang barangan seperti tongkat dan lampin pakai buang.

"Saya berharap agar penganjuran program ini dapat membantu warga emas untuk sentiasa sihat serta mampu menjaga diri mereka sendiri memandangkan jumlah mereka semakin bertambah dan golongan muda pula ramai yang berhijrah mencari rezeki di luar.

"Program yang berlangsung di perkarangan Masjid Kampung Bahagia ini dilihat mampu mencapai matlamat ke arah membantu warga emas dalam meniti proses penuaan yang sihat, positif, proaktif dan produktif serta persekitaran yang baik," katanya lagi.
Program ini turut dijayakan oleh 30 orang pelajar Sarjana Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Keluarga, PPSP, USM.
Teks: Mohd Hafiz Ya'acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.