USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Oktober 2022 - Pendaftaran pelajar baharu Sidang Akademik 2022/2023 Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini berjalan lancar.

Sehingga jam 12.00 tengah hari, seramai 482 pelajar yang mendaftar diri daripada keseluruhan 555 pelajar yang dijangka mendaftar akan mengikuti pelbagai program yang ditawarkan di tiga pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Sains Perubatan, Pusat Pengajian Sains Pergigian dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin turut meluangkan masa melihat proses pendaftaran yang dijalankan di Desasiswa Murni dan Desasiswa Nurani.


Shaharum ketika ditemui mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baharu yang menjejakkan kaki ke Kampus Kesihatan kerana terpilih sebagai pelajar Perubatan, Pergigian dan Sains Kesihatan yang merupakan impian ramai pelajar di luar sana.

“Alhamdulillah, siswa siswi yang menerima surat tawaran adalah mereka yang terpilih ataupun 'cream of the cream' selepas melepasi proses saringan serta temuduga yang ketat.


“Justeru, saya berharap agar siswa siswi yang terpilih ini sentiasa bersyukur dan komited mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran agar memperoleh semaksimum mungkin ilmu serta pendedahan dalam bidang masing-masing sebelum bergraduan seterusnya berkhidmat untuk negara, nusa dan bangsa,” katanya.

Tambah Shaharum, sepanjang tempoh pengajian siswa siswi di Kampus Kesihatan selama empat (4) hingga lima (5) tahun ini, pengurusan serta warga kerja Kampus Kesihatan komited untuk membantu dalam apa jua kapasiti bagi menyokong pembelajaran serta kehidupan sebagai mahasiswa.

“Sekiranya ada dalam kalangan siswa siswi yang memerlukan sebarang perhatian atau bantuan, anda boleh menghubungi pengurusan dalam pelbagai platform sama ada menerusi Pusat Pengajian, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pusat Islam dan lain-lain.

“Selain perhatian khusus kepada pengajian akademik, universiti turut menyediakan pelbagai platform nilai tambah kepada mahasiswa termasuk kemudahan sukan, riadah, aktiviti berpersatuan dan program-program keusahawanan,” jelasnya lagi.

Shaharum turut berharap agar semua urusan siswa siswi dipermudahkan oleh-Nya sepanjang menempuh fasa pengajian di Kampus Kesihatan selain berharap agar mereka dapat bergraduan dengan cemerlang dan menjadi aset kepada keluarga serta negara kelak.
Teks: R. Alia Fazni R. Azmi / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood.