Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PENGHARGAAN DAN PENGIKTIRAFAN KUNCI KESEJAHTERAAN EMOSI LELAKI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Disember 2024– Lelaki cenderung untuk mencari penghargaan dan pengiktirafan dalam kehidupan harian mereka, terutama apabila berjaya mencapai sesuatu atau memberi sumbangan yang besar.

Perasaan dihormati memainkan peranan penting dalam kesejahteraan emosi lelaki.

IMG 20241214 WA0014

Dalam konteks hubungan, lelaki turut menitikberatkan pengiktirafan daripada pasangan terhadap usaha dan kejayaan mereka yang bukan sahaja meningkatkan rasa percaya diri tetapi juga memperkukuh keharmonian dalam perhubungan.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, dalam ceramahnya sempena Program Kekeluargaan: Kesihatan Seksual dan Rumah Tangga (KSR) turut menekankan bahawa penghargaan kecil seperti kata-kata pujian atau panggilan mesra sudah cukup bermakna buat lelaki.

IMG 20241214 WA0013

"Ia memberi kesan positif kepada keyakinan lelaki dan menunjukkan sumbangan mereka dihargai.

"Masyarakat perlu lebih peka terhadap kepentingan memberi penghargaan dalam membina hubungan dan keseimbangan emosi yang sihat," katanya.

Menurut Shaiful Bahari, selain penghargaan, perkara yang perlu dititik beratkan adalah keinginan seksual dalam kalangan lelaki dilaporkan cenderung berubah mengikut usia, tahap kesihatan, dan tekanan luaran seperti masalah emosi serta bebanan kerja.

IMG 20241214 WA0012

"Berdasarkan kajian yang dibentangkan, perbezaan ini turut dipengaruhi oleh perubahan generasi khususnya antara golongan 'New vs Old Generation'.

"Kajian tersebut juga turut menekankan kepentingan komunikasi yang baik antara pasangan bagi mengelak salah faham dan prasangka, terutama apabila keinginan seksual semakin berkurangan," ujarnya.

Tambah Shaiful Bahari, pasangan harus memahami keadaan ini serta membina komunikasi yang lebih terbuka dan positif.

IMG 20241214 WA0011

"Penyelidikan ini juga menyeru agar isu kesihatan emosi dan komunikasi dibincangkan secara lebih telus bagi membantu pasangan menghadapi perubahan semula jadi ini dalam hubungan mereka.

"Kesimpulannya, memahami psikologi dan seksual lelaki adalah kunci untuk mengelakkan konflik dalam hubungan," terangnya lagi.

Shaiful Bahari turut menjelaskan bahawa hubungan yang harmoni memerlukan komunikasi yang baik, rasa saling menghargai dan tolak ansur antara kedua-dua pihak.

"Dengan mengenal pasti dan memahami perbezaan-perbezaan ini, kita dapat mencipta hubungan yang lebih bahagia, stabil dan penuh kasih sayang," katanya.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 323