PENGURUSAN BERASASKAN SYARIAH KONSEP UTAMA HOSPITAL MESRA IBADAH
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Mac 2020 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menerapkan konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI) bermula tahun 1998 dan dilancarkan secara rasmi pada tahun 2004 serta terus diperkasakan ke arah sistem pengurusan kualiti berasaskan syariah berfokus kepada kesejahteraan pesakit melalui penghayatan ibadah semasa dan selepas mendapat rawatan.
Menurut Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) mendapati hanya 20 peratus daripada pesakit beragama islam yang berada di dalam wad menunaikan solat.
“Pesakit memberi pelbagai alasan antaranya ialah mereka tidak mengetahui tatacara pelaksanaan solat ketika sakit, merasa tidak selesa hendak solat dalam keadaan sakit, mereka juga merasakan boleh qada’ solat di rumah dan sebagainya.
“HMI ini ditubuhkan kerana pihak pengurusan hospital melihat bahawa terdapat beberapa masalah yang telah dikenalpasti iaitu tiada kesedaran daripada pesakit itu sendiri selain tiada pihak yang menegur dan mengajarnya untuk melakukan solat ketika sakit,” ujarnya dalam ucapan aluan sempena Lawatan Penanda Aras HMI dari Pejabat Agama Jajahan Tumpat, di Blok Pembelajaran & Sumber Pelajar (BPSP), di sini.
HMI merupakan identiti USM, selari dengan polisi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) malah mendapat pengiktirafan daripada agensi-agensi luar serta telah menerima lawatan dan membuat perkongsian kepada lebih 20 buah hospital awam dan swasta antaranya Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Besut, Hospital Setiu, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Hospital Sultan Abdul Halim, Hospital Kulim, Sultan Ahmad Shah dan banyak lagi.
Sementara itu, Penyelaras Unit Pematuhan dan Pengurusan Risiko (UPPR), Hospital USM, Amira Abd Sattar @Ismail pula berkata, HMI turut melakukan rutin perkhidmatan yang memberi manfaat kepada pesakit iaitu dengan menyediakan ‘free lunch box’ berserta tazkirah ringkas, kupon makanan kepada penjaga pesakit, melawat pesakit di samping menyampaikan dakwah secara santai bagi mengisi ruang masa pesakit serta halaqah fiqh wanita dengan memberi panduan kepada para ibu yang melahirkan anak mengenai darah nifas dan sebagainya.
“Kami juga memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada pesakit untuk menghadapi saat-saat getir ataupun nazak bagi mengelakkan pesakit ini meracau selain bekerjasama dengan pihak Darul Syifa’ dalam urusan rawatan islam kepada pesakit.
“Selain itu, UPPR juga memberikan latihan kepada staf-staf klinik atau hospital melalui Bengkel Pengurusan Ibadah Pesakit, Bengkel Rukhsoh Solat (Sakit, Sukar & Safar), Bengkel Ibadah Ketika Sakit (Pesakit Luar) dan ‘Training Of Trainers’ bagi memberi pendedahan kepad staf klinikal mengenai kepentingan dalam penjagaan ibadah pesakit mahupun staf itu sendiri”, katanya.
Tambah Amira, Hospital USM juga turut bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar bagi pelupusan spesimen dan sisa biologi.
“Sebelum ini, organ- organ serta anggota badan yang tidak diperlukan selepas pembedahan akan dibakar atau ditanam namun kini, untuk menepati amalan hospital patuh syariah, pihak hospital akan bersihkan dan ditanam sebagaimana prosedur yang ditetapkan oleh Agama Islam.
"Walau bagaimanapun, pengurusan tersebut masih dalam tempoh percubaan oleh Pusat Islam Kampus Kesihatan USM", katanya.
- Created on .
- Hits: 577