USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 April 2022 – Ketua Unit Transformasi Orang Kurang Upaya (OKU) merangkap Penyelaras Kluster OKU Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Aktivis Cakna OKU Negeri Kelantan sempena Sambutan Hari OKU Muqarrabun Negeri Kelantan baru-baru ini.
Zulkifli yang juga Pensyarah Terapi Carakerja (pengkhususan OKU) menerima anugerah tersebut sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau dalam program pemerkasaan OKU yang dijalankan di USM kerana memberi manfaat kepada kebanyakan golongan OKU di Kelantan.
Beliau yang dihubungi melahirkan rasa syukur atas anugerah tersebut serta berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan USM khususnya yang memberi peluang kepada beliau mengetengahkan kepentingan OKU.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada USM kerana mewujudkan Unit Transformasi OKU di Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan menyokong perjuangan untuk memartabatkan golongan OKU agar mereka ini tidak terus dipinggirkan.
“Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas pengiktirafan yang menjadi pemangkin untuk saya terus memperjuang dan memperkasakan golongan terkebawah termasuk golongan OKU,” katanya.
Zulkifli turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan semua pihak yang menyokong dan membantu kelancaran program Transformasi OKU USM selama ini.
Dalam majlis tersebut, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengiktiraf tokoh-tokoh OKU serta aktivis dan pejuang OKU seluruh Negeri Kelantan.
Zulkifli telah terlibat dengan pelbagai program melibatkan OKU antaranya Program Rintis Latihan Pekerjaan OKU Intelek (VT@USM>), Program Modifikasi Khas Kerusi Roda kerjasama Rajanagarindra Institute of Child Development (RICD) Chiangmai, Thailand, penubuhan Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kubang Kerian, mewujudkan Pusat Khidmat Modifikasi Kerusi Roda di Kampus Kesihatan USM dan banyak lagi.
Pengerusi Koperasi Cakna OKU Kelantan ini juga adalah perintis yang memula dan menjalankan projek pertanian komersil sebagai penjanaan ekonomi untuk golongan OKU selain bertanggungjawab memulakan Pusat Latihan Pertanian OKU Masalah Pembelajaran di Rumah Seri Kenangan, Kemumin.
Kecaknaan Zulkifli terhadap golongan OKU menjadi kayu pengukur sehingga beliau terpilih untuk menerima anugerahTokoh Aktivis Cakna OKU Negeri Kelantan.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Ihsan Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim