USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Januari 2022 – Terdapat pelbagai jenis cacing yang berpotensi menjangkiti manusia seperti cacing bulat, cacing pipih dan cacing pita.
Di Malaysia, cacing bulat seperti cacing gelang, cacing kerawit, cacing cambuk ialah jenis yang lazim dan kerap menjangkiti pesakit terutamanya yang dimasukkan ke wad. Selain itu, cacing ‘Strongyloides’ merupakan sejenis cacing yang unik dan berpotensi menyebabkan penyakit yang teruk.

Menurut Pensyarah Perubatan yang juga Pakar Mikrobiologi dan Parasitologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Zeehaida Mohamed, sesetengah jangkitan cacing ditemui secara tidak sengaja pada pesakit yang dimasukkan dengan gejala sakit perut, cirit birit, batuk atau dalam kalangan kumpulan pesakit tertentu seperti kanak-kanak, pesakit yang menghidap kencing manis, kanser atau yang menerima rawatan steroid.
“Kebanyakan cacing yang ditemui mungkin disabitkan dengan gejala dan diagnosis semasa manakala ada juga cacing yang tidak dianggap sebagai penyebab kepada diagnosis utama pesakit.
“Justeru, ada pesakit yang mungkin menerima ubat cacing dan ada juga pesakit yang tidak perlu dirawat bergantung kepada analisis doktor yang bertugas,” katanya ketika menyampaikan syarahan dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, hari ini.

Tambah Zeehaida, kitaran hidup cacing dalam perumah manusia (hos) melibatkan beberapa peringkat iaitu pengambilan makanan atau minuman yang tercemar, kemasukan telur atau larva cacing ke dalam hos, pembiakan cacing di dalam usus dan penularan jangkitan cacing di luar usus seperti di pundi hempedu, paru-paru dan organ lain.
“Kajian ilmiah membuktikan terdapat banyak sayur-sayuran telah dicemari oleh parasit terutamanya cacing dan hal ini telah menyebabkan kitaran cacing sentiasa wujud dalam hos.
“Penyiasatan jenis cacing melibatkan pemprosesan sampel klinikal pesakit dan pengecaman bentuk atau struktur cacing, telur atau larva yang mempunyai ciri-ciri yang unik dan kebiasaannya dilakukan secara manual menggunakan mikroskop.
“Namun, terdapat juga kaedah pengesanan yang lain seperti antibodi, antigen dan teknik molekular,” ujarnya lagi.

Zeehaida turut menjelaskan bahawa apabila cacing ditemui di dalam badan pesakit, kesahihan penyebab penyakit perlu ditentukan sebelum sesuatu rawatan boleh dimulakan.
“Kesahihan itu meliputi beberapa aspek seperti jenis cacing, kumpulan pesakit, organ yang terlibat, keterukan penyakit, pernah menerima rawatan steroid dan lain-lain.
“Sebagai contoh, cacing gelang yang menduduki usus pesakit dewasa kurang merbahaya berbanding cacing ‘strongyloides’ yang dijumpai pada pesakit kanser terutama yang menerima rawatan steroid kerana ‘strongyloides’ berupaya menyebabkan jangkitan hiperaktif dan kematian dalam kalangan pesakit tersebut.
“Dalam era pandemik COVID-19, pesakit kritikal tahap empat dan lima telah dirawat dengan ubat antiviral dan steroid sepanjang tempoh rawatan. Bagi pesakit yang berjaya sembuh, mereka mungkin berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan ‘strongyloides’,” ulas beliau lanjut.
Zeehaida berkata, secara amnya rawatan bagi penyakit cacing adalah sangat mudah dan hanya memerlukan satu atau dua dos ubat cacing ‘albendazole’ atau ‘pyrental pamoate’ sahaja.
“Namun, sekiranya ditemui cacing ‘Strongyloides’ dalam badan manusia, ia memerlukan ubat yang lebih spesifik seperti ‘Ivermectin’ yang diberikan selama dua (2) hari atau lebih,” katanya.
Zeehaida turut menegaskan bahawa jangkitan cacing akan terus wujud dalam golongan pesakit tertentu seperti pesakit kencing manis, kanser dan pesakit yang menerima steroid.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman