Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PERKUKUH INSTITUSI KEKELUARGAAN, TANGANI GEJALA KEMURUNGAN KANAK-KANAK DAN REMAJA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 31 Julai 2024 – Kemurungan remaja adalah keadaan yang sering dikaitkan dengan perasaan sedih, murung dan tidak bersemangat. Remaja yang mengalami kemurungan mungkin hilang minat terhadap aktiviti harian, berasa kosong atau tidak berharga dan mengalami kesukaran dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Keadaan ini boleh mengganggu perkembangan diri mereka serta mempengaruhi kualiti hidup secara keseluruhan.

Masalah ini kini berada pada tahap yang membimbangkan walaupun pelbagai pendekatan telah diambil untuk mengatasi isu tersebut. Kemurungan remaja bukan sahaja memberi kesan kepada emosi dan mental, tetapi juga boleh mengganggu fungsi sosial dan akademik mereka.

IMG 20240731 WA0017

Menurut Pakar Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Norzila Zakaria, kemurungan dalam kalangan remaja sering kali dipengaruhi oleh beberapa faktor utama.

"Ini termasuk isu-isu berkaitan harga diri, buli, prestasi akademik yang rendah, orientasi seksual serta pengalaman sebagai mangsa penganiayaan fizikal atau seksual.

IMG 20240731 WA0018

"Faktor-faktor ini boleh menyebabkan tekanan yang mendalam dan menyumbang kepada perkembangan kemurungan, mempengaruhi kesejahteraan emosi dan mental remaja.

“Sekiranya simptom kemurungan berterusan, ia boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan berpotensi menyebabkan tindakan mencederakan diri sendiri atau membunuh diri,” katanya ketika ditemu bual.

IMG 20240731 WA0021

Norzila memberitahu, berbeza dengan orang dewasa yang sering menunjukkan simptom kemurungan klasik, mengenal pasti dan menangani kemurungan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak adalah lebih sukar.

“Sesetengah daripada mereka mungkin mempunyai kecenderungan genetik terhadap kemurungan yang bermaksud bahawa faktor genetik dalam keluarga boleh mempengaruhi risiko mereka mengalami kemurungan.

IMG 20240731 WA0016

"Selain itu, personaliti yang sensitif juga boleh memainkan peranan menyebabkan mereka lebih sukar untuk memahami dan mengawal emosi mereka,” ujarnya lagi.

Norzila turut menjelaskan bahawa perubahan ketara dalam pemikiran dan tingkah laku sering kali dapat dilihat pada remaja atau kanak-kanak yang mengalami kemurungan.

IMG 20240731 WA0020

“Mereka cenderung untuk mengasingkan diri, sering bersendirian di dalam bilik, kehilangan minat dalam aktiviti yang menyeronokkan, hilang selera makan dan mengalami kemerosotan dalam kebersihan diri.

"Apabila seseorang itu mengalami kemurungan yang teruk, mereka biasanya akan mengalami gangguan tidur dan sering terjaga pada awal pagi antara jam 3.00 hingga 4.00 pagi serta menghadapi kesukaran untuk tidur semula,” katanya.

IMG 20240731 WA0022

Tambah Norzila, kemurungan dalam kalangan remaja boleh dicegah dengan menggalakkan kesihatan fizikal yang baik melalui amalan diet sihat, senaman yang mencukupi dan interaksi sosial yang positif.

“Remaja perlu digalakkan meluahkan perasaan mereka kepada guru, ibu bapa, dan pemimpin masyarakat untuk berkongsi apa yang mereka rasai.

"Jika diperlukan, mereka harus dirujuk kepada kaunselor, pakar psikologi atau pakar psikiatri,” jelasnya.

IMG 20240731 WA0023

Mengulas tentang kemahiran keibubapaan, Norzila berkata, ibu bapa tidak sepatutnya menggunakan hukuman yang memalukan sebagai cara mendidik, sebaliknya mereka perlu menggantikan hukuman tersebut dengan pendekatan yang lebih positif.

"Hukuman yang memalukan boleh menyebabkan remaja berasa rendah diri dan tidak berharga.

"Setiap anak adalah unik dan berbeza. Oleh itu, ibu bapa harus mengelakkan membandingkan anak mereka dengan anak-anak lain serta memastikan setiap permintaan dan perasaan anak dihargai.

"Mengabaikan permintaan anak atau membuat perbandingan dengan orang lain boleh membuat mereka berasa tidak dihargai dan seterusnya boleh memicu simptom kemurungan,” ulasnya lanjut.

IMG 20240731 WA0024

Norzila turut menjelaskan bahawa kemurungan boleh berpunca daripada perubahan kimia dalam otak terutamanya ketidakseimbangan 'neurotransmitter' seperti serotonin dan norepinephrine.

“Selain daripada faktor biologi, penyebab kemurungan juga boleh termasuk sejarah keturunan, di mana faktor genetik dalam keluarga boleh mempengaruhi risiko seseorang mengalami kemurungan.

"Faktor persekitaran seperti masalah perpecahan keluarga, stres yang berlebihan, corak pemikiran negatif dan kehilangan orang yang disayangi juga turut menyumbang kepada risiko kemurungan.

“Terdapat pelbagai kategori kemurungan yang boleh dikenal pasti termasuk gangguan depresi utama (major depressive disorder), gangguan depresi berterusan (persistent depressive disorder), gangguan bipolar, kemurungan bermusim (seasonal affective disorder), kemurungan selepas bersalin (postpartum depression), dan kemurungan psikotik,” katanya.

IMG 20240731 WA0019

Norzila yang telah berpengalaman selama 19 tahun di Unit Bimbingan Kanak-kanak dan Remaja, Klinik Psikiatri, Hospital USM, turut menjelaskan bahawa pada tahun lalu (2023), sekitar 150 kanak-kanak dan remaja berumur antara empat (4) hingga 18 tahun telah mendapatkan rawatan untuk masalah kemurungan di Hospital USM.

“Kami melihat peningkatan dalam kes kemurungan setiap tahun.

"Peningkatan ini dipercayai disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kemajuan teknologi, pengaruh media sosial, masalah di sekolah, keluarga yang sibuk serta konflik dalaman seperti kemiskinan dan perceraian ibu bapa.

"Jika masalah ini tidak diberi perhatian serius atau tidak ditangani dengan baik, kemurungan boleh terus membelenggu mereka dan mungkin membawa kepada masalah yang lebih serius,” jelasnya.

Norzila turut menasihatkan semua ibu bapa agar lebih peka terhadap gejala dan tanda-tanda kemurungan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

"Dengan kesedaran awal, masalah ini dapat ditangani lebih cepat dan berkesan serta ibu bapa perlu tahu di mana mereka boleh mendapatkan bantuan profesional yang sesuai.

“Pada pandangan saya, pendidikan kesihatan mental seharusnya dimulakan sejak sebelum berkahwin. Apabila pasangan mempunyai anak, mereka perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran keibubapaan yang baik dan memahami bahawa gejala kemurungan boleh berbeza mengikut fasa tumbesaran anak.

"Dengan adanya kemahiran ini, saya percaya kita dapat mengatasi masalah kemurungan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sekaligus meningkatkan gaya hidup yang lebih sihat dalam sesebuah keluarga,” ujar beliau.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 308