Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PERKUKUH KERJASAMA PENYELIDIKAN RENTAS BIDANG FOKUS UTAMA MoA USM-UNPRI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Julai 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Universitas Prima Indonesia (UNPRI) bagi memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan dan pertukaran pelajar.

Kolaborasi strategik ini juga dilihat dapat mewujudkan dan memperluaskan lagi peluang dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan latihan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak serta berupaya mensejahterakan masyarakat.

5

Majlis penandatanganan MoA tersebut disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail yang mewakili Naib Canselor USM dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman bagi pihak USM, manakala UNPRI pula diwakili oleh Dekan Fakultas Kedokteran, Kedokteran Pergigian dan Ilmu Kesehatan (FKKGIK) UNPRI, Profesor Dr. dr. Haji Gusbakti Rusip dan Dosen, Program Pendidikan Dokter Spesialis Radiologi, FKKGIK UNPRI, Profesor Dr. dr. Aziza Ghanie Lcksan.

Shaiful dalam ucapannya berkata, perjanjian tersebut merupakan titik tolak dalam kajian rentas bidang dan perkongsian idea berkaitan kemajuan bidang perubatan pada masa kini.

4

“Sebagai sebuah Universiti Awam, kita semua mempunyai agenda yang sama dalam memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara dan tidak boleh bergerak sendirian pada zaman kini.

“Hubungan kerjasama dengan UNPRI ini bukan sahaja sejajar malah ia mendokong misi universiti iaitu sebagai universiti perintis, intensif penyelidikan rentas bidang yang memperkasakan bakat masa hadapan dan mengupayakan golongan terkebawah demi mentranformasi kesejahteraan sosioekonomi mereka,” ujarnya.

6

Selain itu, Shaiful turut berharap agar kerjasama ini membuka pelbagai pintu yang lebih luas, strategik dan memberi impak yang positif kepada kedua-dua universiti.

Sementara itu, Gusbakti pula berkata, beliau percaya kerjasama ini membawa banyak faedah kepada kedua-dua universiti.

3

1

“Saya amat berbangga kerana UNPRI dapat bekerjasama dengan PPSP USM yang telah melahirkan ramai pakar-pakar dalam bidang perubatan dan peluang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk mengembangkan lagi ilmu kesihatan,” katanya.

2

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa, PPSP, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi PPSP, Profesor Madya Dr. Asrenee Ab. Razak; Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas, PPSP, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Timbalan Dekan Libatsama Industri – Komuniti dan Pembangunan, PPSP, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam serta Ketua Projek MoA antara USM dan UNPRI, Profesor Madya Dr. Khairil Amir Sayuti dan Dr. Norsuhana Omar.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 266