Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PILIH UNTUK DIVAKSINASI LUNAS TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA

 

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Mac 2021 – Vaksin COVID-19 merupakan salah satu kaedah mengawal penularan pandemik ini di negara kita dan ia antara cara terbaik untuk melindungi masyarakat.

Sejak kemunculan COVID-19, pelbagai usaha telah dijalankan di seluruh dunia untuk membangunkan vaksin COVID-19. Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kesihatan Malaysia dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ditubuhkan bagi memastikan akses bekalan vaksin COVID-19 untuk negara dapat berjalan lancar.

SAVE 20210301 205110

Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, vaksin COVID-19 diberikan bertujuan untuk merangsang sistem imun supaya badan boleh bertindak balas terhadap jangkitan COVID-19 sekiranya terdedah kepada koronavirus SARS-CoV-2 (severe acute respiratory syndrome coronavirus 2).

“Apabila semakin ramai orang mendapat vaksinasi, imuniti kelompok dapat dibentuk sekaligus mengurangkan kebarangkalian penularan wabak COVID-19 yang lebih teruk di samping melindungi golongan berisiko yang tidak boleh menerima suntikan vaksin oleh sebab-sebab kesihatan tertentu,” katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer BioNTech, di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital USM, di sini.

Tambah Sukari, Majlis Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada 3 Disember tahun lalu mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

“Pilihlah untuk divaksinasi kerana ia bukan sahaja melindungi orang-orang di sekeliling kita seperti ahli keluarga, rakan sekerja dan masyarakat keseluruhannya, tetapi ia juga merupakan sumbangan kita kepada negara dalam membantu membentuk imuniti kelompok.

SAVE 20210301 205050

“Namun begitu, suntikan vaksin ini bukan berbentuk paksaan dan kita diberi pilihan sama ada menerima atau menolak suntikan tersebut berdasarkan borang persetujuan yang diberikan oleh petugas dengan menerangkan kebaikan, kelebihan dan risiko atau kebarangkalian kesan sampingan menerima vaksin,” ujarnya lagi.

Mengulas berhubung pematuhan kepada Standard Operasi Prosedur (SOP) walaupun telah menerima suntikan vaksin, Sukari mengingatkan orang ramai terutamanya warga Kampus Kesihatan agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pematuhan SOP tetap penting dan masih perlu diteruskan sekiranya kita mahu kembali kepada kehidupan normal seperti dahulu selaras dengan harapan Kerajaan Malaysia untuk mewujudkan imuniti kelompok.

“Saya percaya warga Kampus Kesihatan kini semakin memahami kepentingan mematuhi SOP dan sejak akhir-akhir ini saya amat bersyukur serta menghargai semua staf, pelajar, peneman pesakit Hospital USM kerana mereka menghayati kepentingan mematuhi SOP berbanding diperingkat awal dahulu,” jelasnya.

SAVE 20210301 205059

Sukari yang juga merupakan Pengarah Hospital USM, turut berharap agar semua pihak menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk memastikan agenda negara terlaksana selain berharap agar pengorbanan ini membantu mengurangkan implikasi jangkitan kepada orang lain yang berada di persekitaran kita.

“Saya juga berharap agar warga Kampus Kesihatan khususnya dan Hospital USM amnya terus teguh memberikan perkhidmatan dan rawatan yang terbaik kepada pesakit dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 ini,” ulasnya lanjut.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa yang dilantik menyelaras dan mengendalikan proses pemberian vaksin dengan segala persiapan dari awal sehinggalah proses suntikan berjalan pada hari ini. 

"Kerjasama yang baik dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta seluruh jabatan terlibat membuktikan kesungguhan semua pihak dalam memastikan rantaian COVID-19 dalam komuniti dapat diputuskan," katanya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.

  • Created on .
  • Hits: 133