USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Julai 2022 – Selepas dua tahun negara bergelut dengan pandemik COVID-19 dan pelbagai program tidak dapat dilaksanakan ekoran perintah kawalan pergerakan dan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan, Perpustakaan Hamdan Tahir (PHT) Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) kembali aktif memberi penerangan dan berhubung kembali dengan pelanggannya.

Melalui program 3C (Coffee, Chat and Connect), tiga (3) kaunter utama dibuka di hadapan Pintu Utama PHT pada 29 Jun lalu bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang iaitu Kaunter Korporat bagi mempromosi media sosial perpustakaan serta menganjurkan InfoQuiz, Kaunter Rujukan dan Sokongan Penyelidikan yang mengendalikan runding cara pengguna berkenaan pengurusan bibliografi dan cara mendapatkan artikel percuma serta Kaunter Perkhidmatan Pelanggan yang memberi penerangan tentang kadar bayaran baharu di PHT.


Di samping itu terdapat juga kaunter jualan dikendalikan oleh Kelab ASTAKA PHT yang memfokuskan jualan ‘Cornlet Cookies’ yang merupakan hasil penyelidikan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak selain turut menyediakan kopi serta pelbagai roti secara percuma kepada semua pengunjung.