USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 September 2021 – Pandemik COVID-19 memberi impak yang besar bukan sahaja kepada sektor ekonomi dan sosial malah kepada sistem kesihatan negara. Jumlah kadar kelahiran pada musim pandemik COVID-19 juga dilihat meningkat daripada tahun sebelumnya.
Menurut Pensyarah Perubatan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Erinna Mohamad Zon, merancang kehamilan bukan sahaja penting semasa pandemik COVID-19 kerana mampu mencegah kesan jangkitan COVID 19 kepada ibu dan bayi, malah sebaiknya ia perlu dilakukan sepanjang masa.
“Tujuan sebenar merancang kehamilan adalah untuk memberi ruang kepada ibu pulih daripada proses kelahiran dan anak mendapat kasih sayang yang cukup dalam penjagaan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.
“Selain itu, ibu juga perlu berada dalam keadaan optimum bagi memberi ruang kepada pasangan untuk merancang ekonomi keluarga supaya mereka lebih bersedia menerima cahaya mata baharu,” ujarnya semasa menjadi panel dalam Forum Pandemik COVID-19: Sejauh Mana Impak Terhadap Penjagaan Keselamatan Ibu serta Bayi sempena Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Peringkat Hospital USM, yang diadakan secara maya hari ini.
Erinna berkata, di sepanjang usia kehamilan, seseorang ibu boleh menerima vaksin COVID-19 seperti Pfizer, Sinovac dan Astrazeneca yang telah diuji dan terbukti selamat untuk diberikan kepada wanita mengandung.
“Vaksin amat penting untuk wanita hamil kerana ketika mengandung mereka mengalami beberapa perubahan seperti sistem imun dan pernafasan menurun berbanding biasa selain kadar denyutan jantung yang semakin meningkat dan darah yang cepat membeku.
“Vaksin akan membentuk antibodi terhadap ibu yang mana manfaatnya turut diperolehi oleh bayi dalam kandungan dan ini dipercayai dapat mengurangkan kesan jangkitan COVID-19 kepada ibu hamil.
“Mereka masih lagi berisiko untuk dijangkiti virus COVID-19, namun mungkin dijangkiti pada tahap rendah iaitu tahap satu atau dua berbanding dengan wanita hamil yang tidak divaksinasi berkemungkinan dijangkiti dengan tahap empat atau lima dan yang paling membimbangkan adalah kandungan perlu ditamatkan jika keadaan ibu bertambah teruk,” jelasnya lagi.
Tambah Erinna, pasangan yang mempunyai masalah kesuburan digalakkan untuk mendapatkan rawatan kesuburan namun perlu mematuhi beberapa syarat.
“Mereka yang menghadapi masalah penyakit kronik seperti diabetes, asma dan sebagainya perlu mendapatkan rawatan dan memastikan mereka berada dalam keadaan yang paling optimum iaitu selamat untuk mengandung.
“Mereka juga perlu lengkap menerima vaksin COVID-19 bagi membentuk antibodi dan sekiranya terkena jangkitan, mungkin kesannya tidak terlalu teruk,” ujarnya.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman