Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

RAUDZAH ALUMNI YANG MENABUR BAKTI 36 TAHUN SEBAGAI JURURAWAT DI HOSPITAL USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Januari 2023 – “Syukuri apa yang ada dan sentiasa tanam niat yang baik di dalam hati untuk bekerja dengan seikhlas mungkin agar pelanggan sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatan yang saya berikan,” demikian kata Ketua Penyelia Jururawat, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Raudzah Haji Mohamed Ariffin.

RAUDZAH ALUMNI YANG MENABUR BAKTI 36 TAHUN SEBAGAI JURURAWAT DI HOSPITAL USM

Isteri kepada anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bercerita mengenai tempoh 36 tahun dalam bidang kejururawatan merupakan satu pengalaman hebat buat seorang wanita yang juga ibu kepada tiga cahaya mata ini. Memilih untuk melabuhkan tirai perkhidmatan pada usia 59 tahun setelah lebih tiga dekad menabur bakti kepada pesakit sejak mula melaporkan diri sebagai jururawat pada 15 Januari 1987 merupakan satu keputusan yang sukar baginya untuk melepaskan profesyen yang telah sebati dalam diri.

Wanita bertubuh kecil ini telah melalui pelbagai rintangan, pahit manis, suka duka bergelar seorang jururawat. Bermula sebagai jururawat U29 seawal usia 21 tahun sebelum dilantik menjadi Ketua Jururawat U32, 10 tahun kemudiannya. Beliau terus cemerlang berbakti sehingga dinaikkan pangkat U36 10 tahun berikutnya dan diberi kepercayaan untuk menjadi salah seorang pengurusan tertinggi Unit Kejururawatan Hospital USM sehingga bergelar Ketua Penyelia Jururawat U52.

RAUDZAH ALUMNI YANG MENABUR BAKTI 36 TAHUN SEBAGAI JURURAWAT DI HOSPITAL USM 2

Raudzah yang sentiasa fokus dan berorientasikan pencapaian, berpegang teguh untuk ke arah kecemerlangan, bermoral dan beretika dalam setiap tugas dan penghasilan kerjanya. Beliau disifatkan sebagai pemimpin yang berwawasan dan seorang mentor yang disegani selain dikenali dengan sifatnya yang prihatin, penyayang serta sentiasa bersedia membantu staf yang memerlukan bantuan.

Ketika ditemubual, Raudzah yang tidak lokek dengan senyuman sentiasa menitipkan pesanan buat semua warga USM khususnya jururawat agar sentiasa menimba ilmu dan mempelajari sesuatu yang baharu sebagai persediaan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.

RAUDZAH ALUMNI YANG MENABUR BAKTI 36 TAHUN SEBAGAI JURURAWAT DI HOSPITAL USM 3

“Nasihat saya kepada semua jururawat khususnya di Hospital USM, kita tidak boleh berhenti belajar dan jadilah jururawat atau staf yang berwawasan, hebat dalam bidang akademik serta beretika tinggi dalam perkhidmatan.

“Sentiasa bersabar, ikhlas, cekap dan tanamkan rasa cinta kepada tugas yang diamanahkan, InsyaAllah, anda akan berasa profesyen ini suatu kecintaan yang sangat suci,” ujarnya.

Menelusuri kisah graduan ‘School of Nursing, University Hospital Kuala Lumpur (UHKL)’ ini, Raudzah turut menceritakan cabaran paling besar atau peristiwa yang tidak dapat dilupakan sepanjang perkhidmatannya adalah menggalas tugas dan amanah ketika negeri Kelantan dilanda banjir pada tahun 2014 dan ketika negara berhadapan pandemik COVID-19.

“Sebagai ketua yang memegang tampuk kepimpinan kejururawatan Hospital USM, saya perlu bijak mengatur strategi untuk berhadapan dengan pelbagai rintangan dan cabaran yang mendatang terutamanya dalam pengurusan staf untuk memastikan perawatan kepada pesakit berjalan lancar.

“Saya terpaksa kuat, menjadi garang dan adakalanya bersikap autokratik untuk memastikan staf dapat menumpukan perhatian kepada tugas walaupun saya tahu ada ketikanya fikiran mereka melayang memikirkan nasib keluarga yang sedang berhadapan bencana banjir atau dijangkiti wabak COVID-19,” jelasnya lagi.

RAUDZAH ALUMNI YANG MENABUR BAKTI 36 TAHUN SEBAGAI JURURAWAT DI HOSPITAL USM 4

Prinsip untuk sentiasa memastikan kualiti perkhidmatan seseorang jururawat di bawah seliaannya berada pada tahap terbaik dan memiliki kemahiran kognitif yang tinggi tersemat utuh di dalam diri beliau yang bakal menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam dan bersara pilihan pada 30 Januari.

“Tinggi kemahiran kognitif seseorang itu, maka tinggilah etika dalam dirinya.

“Pelajaran dan pengalaman mengajar kita menjadi lebih baik, dewasa dan matang. Pada usia bila pun, pembelajaran perlu berterusan untuk mempertingkatkan kemahiran kognitif seseorang itu,” katanya.

Raudzah yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan daripada Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM dan ‘Master of Nursing’ daripada Open University Malaysia turut menitipkan nasihat buat semua jururawat Hospital USM agar terus menyumbang bakti memberikan khidmat yang terbaik kepada pesakit selain menjalani kehidupan yang seimbang dan perlu bijak menguruskan masa.

“Bekerjalah dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan kerana hanya Allah yang mampu menilainya.

“Sesibuk mana pun kita, kita jugalah yang menyusun jadual harian sendiri. Kita harus memastikan kehidupan kita seimbang, berkesan dan berkat," katanya mengakhiri temubual.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 355