USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Jun 2021 - Sejak pelancaran Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital USM dua tahun yang lalu, seramai 310 keluarga pesakit kanak-kanak yang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) telah memperoleh manfaat, khususnya penginapan serta kemudahan-kemudahan yang disediakan.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail menyifatkan RRM sebagai antara model berjaya kerjasama Universiti-Korporat untuk manfaat rakyat terutama golongan yang berkeperluan.
“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, keutamaan peruntukan kewangan oleh kerajaan kepada USM adalah untuk tujuan akademik, penyelidikan serta perkhidmatan perawatan.
“Justeru, kerjasama bersama pihak Ronald McDonald House Charities (RMHC) dalam membangunkan RRM di Hospital USM benar-benar membantu keluarga pesakit kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan dengan menawarkan penginapan dengan kadar bayaran serendah RM5.00 semalam di RRM.
“Bilik penginapan yang selesa serta pelbagai kemudahan turut disediakan nyata memberi kelegaan serta mengurangkan beban kepada keluarga kurang berkemampuan untuk berulang alik sepanjang anak mereka menerima rawatan di wad Hospital USM,” jelasnya.
Tambah Shaiful, USM amat berterima kasih atas pemilihan Hospital USM sebagai salah sebuah RRM di negara ini yang merupakan satu-satunya RRM di luar Lembah Klang dan berharap agar lebih banyak badan korporat atau konglomerat tampil membantu dalam model yang serupa demi memastikan nasib golongan terkebawah sentiasa terbela.
Sementara itu, Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim pula menyifatkan, dengan adanya RRM, ianya memberi kemudahan kepada pasukan perawatan untuk lebih mudah berhubung serta berbincang dengan keluarga pesakit.
“Majoriti keluarga pesakit yang diperakukan untuk menginap di RRM ialah peneman pesakit kronik termasuk kanser serta penyakit-penyakit yang memerlukan rawatan rapi dan kebanyakannya memerlukan tempoh rawatan yang panjang.
“Memandangkan rawatan melibatkan pesakit kanak-kanak, pasukan perawatan dari semasa ke semasa perlu berbincang dan memaklumkan proses rawatan kepada waris. Dengan adanya RRM, mereka dapat sentiasa berada dekat untuk memantau perkembangan rawatan serta menyokong emosi anak kesayangan mereka,” katanya.
Pengurus RRM Di Hospital USM, Nurul Wahida Harun pula menzahirkan ucapan terima kasih atas kerjasama erat pelbagai pihak di USM sepanjang dua tahun operasi RRM di Hospital USM sejak tahun 2019.
“Sememangnya objektif RMHC menerusi RRM ialah untuk menyediakan penginapan selesa kepada keluarga pesakit kanak-kanak yang sedang menerima rawatan dan kami sangat berterima kasih kepada pengurusan serta jabatan-jabatan di USM yang terlibat termasuk pihak pengurusan, pasukan perawatan, penyelenggaraan, kewangan dan sokongan operasi yang lain,” ujarnya.
Menurut Nurul Wahida lagi, selain bilik-bilik penginapan serta kemudahan-kemudahan yang disediakan, pengurusan RRM di Hospital USM juga sentiasa membuka peluang kepada mana-mana pihak sama ada individu atau agensi untuk menghulurkan bantuan berupa keperluan harian dan bekalan mentah untuk makan minum keluarga yang menginap di RRM.
“Kami amat mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak kerana majoriti ibu bapa pesakit adalah daripada keluarga kurang berkemampuan, malah ada di antara mereka terpaksa berhenti bekerja atau cuti tanpa gaji sementara menunggu anak mereka selesai menjalani rawatan,” katanya.
Terdahulu, Shaiful, Ahmad Sukari dan Nurul Wahida ditemui sewaktu penyampaian sumbangan pek makanan oleh McDonald's Malaysia anjuran RMHC sempena ulangtahun kedua RRM di Hospital USM.
Teks: Amyrulhan Azhari / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman