USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Jun 2020 – Sebanyak 181 keluarga telah mendapat manfaat menginap di Rumah Ronald McDonald (RRM) atau ‘Ronald McDonald House’, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), demi kelangsungan anak mereka yang menerima rawatan di wad pediatrik Hospital USM sejak ianya mula beroperasi pada 23 Jun 2019.
Menurut Pengurus RRM Hospital USM, Nurul Wahida Harun, sejak pembukaan RRM Hospital USM, secara purata 12 bilik digunakan setiap hari oleh keluarga pesakit.
“Rumah ini merupakan hasil kerjasama strategik pelbagai pihak dalam membantu golongan yang memerlukan terutama waris pesakit yang menemani anak mereka menjalani rawatan di wad pediatrik," katanya.
Menurut Wahida, RRM Hospital USM dilengkapi dengan 18 buah bilik tidur serta ruang makan, ruang istirehat, dapur, bilik dobi, bilik permainan, dan lain-lain kemudahan untuk penghuni selain turut memiliki Bilik Sensori yang menyediakan peralatan multi deria khas untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa yang mendapat rawatan di Hospital USM.
“Saya berharap agar sasaran penggunaan bilik meningkat dari 12 bilik sehari kepada 18 bilik sehari dengan kerjasama daripada wad dan Jabatan Pediatrik USM untuk memperkenalkan RRM kepada masyarakat luar tentang kemudahan yang disediakan,” ujarnya lagi.
Sempena Sambutan Ulang tahun Pertama RRM hari ini, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ronald McDonald House Charities kerana memilih USM sebagai salah satu lokasi pembinaan RRM.
“RRM membantu memenuhi keperluan penduduk kategori B40 yang mendapat rawatan di Hospital USM dan dijadikan sebagai tempat persinggahan untuk meringankan beban ibu bapa atau penjaga pesakit kanak-kanak terutamanya pesakit kanser serta pelbagai jenis penyakit lain.
“Saya berharap kemudahan yang disediakan ini dapat membantu meringankan beban keluarga khususnya mereka yang datang dari jauh kerana penginapan di sini hanya dikenakan bayaran sebanyak RM5.00 untuk satu malam," jelasnya.
Biarpun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tidak menghalang para petugas RRM mengadakan sambutan ringkas bagi meraikan ulang tahun RRM dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan terutamanya penjarakan sosial.
Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM yang mewakili Pengarah Kampus, Profesor Dr Mohd Imran Yusof, turut mengharapkan agar kerjasama McDonalds Malaysia dengan Hospital USM dapat menepati hasrat untuk ‘Keeping Families Close’ melalui inisiatif RRM.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Lailatul Hafiza Abdul Rashid /Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman