Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

RXZ DAN MESIN RUMPUT TEMAN SETIA 'ABE LI'

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 April 2022 - Saban hari, kelibat individu menunggang motorsikal RXZ bersama mesin rumput menjadi halwa mata setiap orang yang berselisih dengan beliau. Tanpa menghiraukan sesiapa, RXZ terus meluncur menuju ke lokasi di mana tugas sedang menunggu si penunggang.  

Mohd Razali Che Elias, 59 tahun, Pekerja Awam, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), merupakan salah seorang yang bertanggungjawab memastikan persekitaran Kampus Kesihatan sentiasa bersih dan terjaga. 

1cec8321 edc1 4c83 b016 8efe0709682c

Berbekalkan mesin rumput yang menjadi rakan kendongan setianya dengan sebuah motorsikal RXZ kesayangan, beliau bergerak seawal jam 8.30 pagi ke lokasi bagi memastikan kerja memotong rumput di kawasan sekitar kampus dapat disiapkan sebelum matahari tegak di atas kepala.

Walaupun hampir melabuhkan tirai perkhidmatan di USM, namun beliau merasa seakan baru semalam melaporkan diri.

"Saya lapor diri di USM pada 15 Januari 1985 dan pada masa itu hanya ada beberapa bangunan sahaja iaitu hospital, asrama pelajar dan perpustakaan, berbanding sekarang kawasan ini dipenuhi dengan bangunan - bangunan pelbagai jabatan serta klinik. Sepanjang tempoh itu, saya dapat melihat perkembangan Kampus Kesihatan.

be3c1864 be3a 4401 8075 87a7423affad

“Pembangunan di luar kampus juga sangat cepat berbanding awal-awal dulu yang mana tidak banyak kemudahan seperti sekarang. Sebagai warga kampus, saya turut berbangga kerana Kampus Kesihatan menjadi sebahagian daripada pelopor pembangunan di kawasan Kubang Kerian,” katanya.

Berbual dengan figura tinggi lampai ini, ternyata beliau seorang yang mudah didekati dan sentiasa optimis dalam menjalani hidup serta kerjayanya.

“Jujur saya katakan, saya seronok dengan kerja saya, tanpa tekanan dari mana-mana pihak sama ada Penyelia, Ketua Jabatan mahupun pihak Pengurusan.  

6d41472f 63d5 4b48 9cba 035b55e29fca

“Walaupun saya hanya pekerja awam, tetapi hubungan saya dengan rakan-rakan sekerja sangat rapat dan perbezaan pangkat tidak menjadi jurang antara kami,” ujar beliau semasa ditemubual.

Bapa kepada empat (4) orang cahayamata ini bakal menamatkan perkhidmatannya pada Januari 2023. Hampir 38 tahun berulang - alik dari Pasir Puteh untuk mencurah bakti di Kampus Kesihatan, beliau nyata sangat menghormati tugas yang dipikul. 

Tugas memotong rumput disiapkan seawal mungkin dan pada sebelah petangnya pula, beliau akan ke nurseri membersih serta merawat pokok-pokok hiasan yang ditanam untuk kegunaan majlis dan pelbagai program yang diadakan di dalam kampus.

18f340e5 cf24 4805 8c31 750449ac12cb

'Otai' dalam kalangan rakan-rakan setugas, Razali juga seorang yang aktif dalam sukan badminton dan sentiasa menyertai kejohanan mewakili kampus.

“Sebagai seorang yang dibayar gaji, kita sepatutnya laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin. 

“Kena fikir, di luar sana ramai yang mengharapkan kerja tetap seperti mana kita, jadi kenapa kita yang telah dapat kerja, mensia-siakan peluang yang diberi,” jelasnya lagi lagak seorang ayah menasihati anaknya.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 125