Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

SAKIT TULANG BELAKANG RAWATAN ALTERNATIF BUKAN PENYELAMAT

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Februari 2020 – “Sikap segelintir masyarakat yang memilih merawat sakit tulang belakang dengan mendapatkan rawatan perubatan alternatif seperti bekam, akupuntur, mengurut, meminum ramuan akar kayu dan sebagainya adalah tidak selamat untuk tulang mereka,” demikian kata Pakar Ortopedik dan Spinal, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Mohd Imran Yusof.

profesordrimran

Menurut beliau, orang Melayu kita memang sudah biasa memilih 'rawatan Melayu' atau 'berubat cara kampung' sehingga sanggup mengabaikan soal kesejahteraan dan keselamatan diri.

“Menjalani pembedahan tulang belakang adalah satu pengalaman yang sukar dalam hidup seseorang kerana kebanyakan pesakit yang belum melalui pengalaman ini akan merasa takut dan  mempunyai tanggapan negatif terhadap rawatan melalui pembedahan.

“Hal ini adalah sesuatu yang perlu difahami kerana persepsi yang salah akan memberi implikasi negatif kepada pesakit, masyarakat dan seterusnya membantut perkembangan teknik rawatan tulang belakang di negara ini,” katanya semasa menyampaikan syarahan bertajuk "Pembedahan Tulang Belakang Adalah Selamat dan Berkesan: Realiti atau Persepsi?" dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang berlangsung di Dewan Utama, di sini.

profdrimran1

Imran yang juga Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM berkata, persepsi sebegini agak subjektif dan perlu diberi perhatian kerana realitinya, kejadian komplikasi berkaitan pembedahan tulang belakang adalah sangat rendah.

"Pembedahan tulang belakang merupakan satu kaedah yang terbukti berkesan untuk merawat penyakit tulang belakang. Penggunaan implan seperti skru pedikel yang paling banyak dipasang pada tulang belakang semasa pembedahan adalah selamat dan berkesan untuk rawatan penyakit tulang belakang.

"Laporan-laporan yang diterbitkan dalam jurnal-jurnal perubatan dalam dan luar negara telah membuktikan bahawa skru pedikel ialah ‘workhorse’ untuk semua pakar bedah tulang belakang di seluruh dunia,” ujarnya lagi.

Jelas Imran, skru pedikel adalah alat yang digunakan untuk memegang tulang belakang dengan kuat dan diperbuat daripada logam titanium yang tidak mudah patah, serasi dengan persekitaran badan manusia (biokompatibel), tidak menyebabkan jangkitan kuman serta berkesan untuk tujuan penstabilan tulang belakang.

profdrimran2

“Hujung skru yang digunakan adalah berbentuk tirus dan tidak tajam bagi mengelakkan kecederaan sekiranya ia tersasar dan menusuk struktur-struktur lembut berhampiran dengan tulang belakang semasa skru dimasukkan ke dalam pedikel tulang.

"Selain itu, bahagian pangkal skru juga mempunyai slot khusus untuk memegang rod serta nat dan berdasarkan kajian morfologi pedikel, pesakit remaja dan dewasa populasi di Malaysia adalah berbeza dalam semua parameter terutama bagi pesakit lelaki. Walau bagaimanapun, penggunaan skru pedikel bersaiz antara 3.5 mm hingga 6.5 mm dengan kepanjangan 16 - 45 mm adalah selamat untuk populasi Malaysia umumnya", katanya.

Tambah Imran, pakar bedah yang melakukan pembedahan telah dilatih bertahun-tahun dalam bidang berkenaan dan sentiasa dipantau oleh pihak pengurusan hospital serta sebarang kejadian negatif yang melibatkan pembedahan ke atas pesakit akan dilaporkan di samping tindakan yang bersesuaian akan diambil termasuk melarang doktor berkenaan melakukan pembedahan ke atas pesakit lain.

"Walaupun kos pembedahan agak tinggi kerana melibatkan penggunaan implan dan alat-alat bantuan pembedahan yang lain, tetapi terdapat juga trend kos rawatan yang semakin menurun", ujarnya.

Imran turut menegaskan bahawa pembedahan tulang belakang untuk kebanyakan penyakit tulang termasuklah kecederaan patah, degeneratif, jangkitan dan kelainan tulang belakang adalah selamat dan berkesan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Anis Azniriza Zainol

  • Created on .
  • Hits: 275