SANTUNI KOMUNITI PULAU PERHENTIAN : USM ADAKAN PEMERIKSAAN MATA KEPADA PELAJAR
USM KUBANG KERIAN KELANTAN, 3 Julai 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) sekali lagi turun padang menyantuni komuniti Pulau Perhentian dengan mengadakan pemeriksaan mata dan saringan penglihatan kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian, Besut, Terengganu.
Program yang berlangsung pada 30 Jun lalu itu merupakan Program ‘Outreach’ tajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Program KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS).
Menurut Ketua Pasukan Program yang juga Pensyarah dan Pakar Oftalmologi, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, PPSP USM, Dr. Shahidatul Adha Mohamad, program tersebut bertujuan mengesan masalah rabun mata dan masalah mata malas dalam kalangan pelajar sekolah luar bandar berusia tujuh (7) hingga 12 tahun sekaligus memberi rawatan terbaik kepada mereka.
“Untuk siri pertama, seramai 153 orang pelajar telah disaring dan 19 orang pelajar mendapat cermin mata percuma manakala dua (2) lagi pelajar yang mengalami masalah mata malas telah dirujuk ke Hospital USM untuk rawatan selanjutnya.
“Untuk siri kedua dan berikutnya, pasukan kami akan ke Sekolah Kebangsaan Pulau Redang pada penghujung bulan Julai dan Sekolah Kebangsaan Pulau Tioman pada penghujung bulan September untuk program yang sama,” ujarnya.
Tambah Shahidatul, semoga usaha murni pasukan USM dapat mengurangkan beban keluarga pelajar-pelajar dan secara tidak langsung memberi kesedaran tentang kepentingan penglihatan yang baik untuk kecemerlangan pendidikan anak-anak mereka.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Dr. Shahidatul Adha Mohamad
- Created on .
- Hits: 201