USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Januari 2023 - Retinopati diabetes merupakan penyakit pada organ mata khususnya pada lapisan retina yang diakibatkan oleh diabetes mellitus.
Pada peringkat awal retinopati diabetes, tahap penglihatan mata adalah baik seperti sediakala. Namun begitu, penglihatan akan menjadi kabur dan akhirnya buta apabila retinopati diabetes mencapai peringkat teruk. Kebutaan yang diakibatkan oleh retinopati diabetes ini boleh dicegah sekiranya saringan awal dilakukan terhadap pesakit diabetes mellitus.

Menurut Pensyarah Kanan yang juga Pakar Perunding Oftalmologi dengan subkepakaran retina, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datin Dr. Zunaina Embong, berdasarkan Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia 2019, retinopati diabetes merupakan antara enam penyebab utama kebutaan peringkat dunia manakala berdasarkan Laporan Kaji Selidik Mata Kebangsaan 2014, retinopati diabetes merupakan faktor kedua kebutaan di Malaysia.
“Diabetes Registri Kebangsaan 2019 melaporkan sebanyak 35 peratus (%) pesakit diabetes mellitus mendapat retinopati diabetes.
“Kebutaan yang diakibatkan oleh retinopati diabetes ini boleh dicegah dengan melakukan pemeriksaan mata sebaik sahaja didiagnosis mengidap penyakit diabetes mellitus.
“Pemeriksaan mata dalam kalangan pesakit diabetes mellitus dikenali sebagai saringan retinopati diabetes dan saringan ini perlu dilakukan walaupun tiada tanda kabur penglihatan atau rasa sakit mata,” katanya ketika menyampaikan syarahan dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, hari ini.

Tambah Zunaina, saringan tersebut adalah penting untuk memastikan salur darah bocor atau pertumbuhan salur darah abnormal dapat dikesan dan rawatan awal dapat diberikan.
“Pemeriksaan biasa atau konvensional yang dilakukan semasa saringan retinopati diabetes adalah menggunakan peralatan seperti funduskop, binokular oftalmoskop, lampu slit, atau kamera retina.
“Pemeriksaan menggunakan peralatan ini perlu dilakukan oleh doktor kerana cara pemeriksaannya memerlukan teknik kemahiran yang betul,” jelasnya.
Zunaina yang merupakan anak kelahiran Bukit Besi, Dungun, Terengganu, turut memaklumkan, dengan kemajuan teknologi pada masa kini, komputer telah dibangunkan untuk berfikir seperti manusia dan mentafsir data.
“Dalam bidang perubatan, teknologi kepintaran buatan (artificial intelligence) digunakan dalam pemprosesan data pesakit termasuk mendiagnosis penyakit dan saringan retinopati diabetes menggunakan aplikasi teknologi kepintaran buatan merupakan satu cabang pemprosesan data pesakit.
Ibu kepada tiga cahaya mata ini turut menjelaskan bahawa data pesakit yang digunapakai dalam aplikasi teknologi kepintaran buatan bagi tujuan saringan retinopati diabetes ialah imej retina.
“Dengan menggunakan rangkaian neural yang berasaskan interaksi antara neuron, komputer yang dibangunkan dengan peranti teknologi kepintaran buatan berkemampuan untuk belajar daripada set data imej retina sedia ada untuk meramal pengeluaran atau hasil data (output).
“Dalam saringan retinopati diabetes, pengeluaran atau hasil data yang diinginkan ialah komputer yang dibangunkan dapat membuat rumusan bukan sekadar mendiagnosis pesakit tersebut mengalami retinopati diabetes malah dapat mengkelaskan tahap keterukan retinopati diabetes,” ujarnya lagi.

Menurut Zunaina, aplikasi teknologi kepintaran buatan dalam saringan retinopati diabetes mendatangkan banyak manfaat selain dapat dijalankan dengan mudah dan pantas.
“Hanya mesin dilengkapi teknologi kepintaran buatan sahaja yang diperlukan tanpa menggunakan peralatan pemeriksaan mata lain dan dalam masa yang singkat, bilangan pesakit diabetes mellitus dapat disaring dengan lebih ramai pada satu-satu masa.
“Perkara ini dapat mengatasi masalah bilangan pesakit yang menjalani saringan retinopati diabetes yang rendah peratusannya dan secara tidak langsung, peratusan kebutaan sebagai akibat diabetes mellitus dapat dikurangkan dengan pengesanan awal kes-kes berisiko,” ulasnya lanjut.
Selain itu, Zunaina turut menjelaskan bahawa, peningkatan pesakit yang membuat saringan retinopati diabetes merupakan kunci kepada penurunan kadar kebutaan.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman