USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Jun 2023 – Bagi memperkenalkan perkhidmatan rawatan rehabilitasi kepada masyarakat, Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Hari Rehabilitasi Bersama Komuniti 2023 bertempat di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, hari ini.
Program yang julung kali diadakan ini turut menyediakan perkhidmatan rundingan kepakaran perubatan dan rehabilitasi kepada komuniti sekitar di samping menggalakkan gaya hidup sihat.
Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, Unit Perubatan Pemulihan merupakan tunjang utama dalam memberi perkhidmatan rundingan kepakaran perubatan dan rehabilitasi kepada pesakit di Hospital USM.
“Mereka berperanan memberi perkhidmatan diagnostik dan terapeutik kepada pesakit, menyediakan peralatan anggota palsu dan alat bantuan pemulihan serta memberi perkhidmatan pembelajaran kepada staf, pesakit, pelajar, pelatih dan masyarakat.
“Unit Perubatan Pemulihan mempunyai empat (4) bahagian perkhidmatan iaitu perkhidmatan perubatan klinikal rehabilitasi, perkhidmatan perawatan fisioterapi, perkhidmatan perawatan pemulihan carakerja, perkhidmatan prostetik dan ortotik serta tidak terkecuali yang paling terbaru ialah perkhidmatan robotik,” katanya.
Tambah Nik Hisamuddin, semua bahagian perkhidmatan ini ditempatkan di bawah satu unit serta menjadi pasukan yang hebat di mana tujuan dan rawatan yang diberikan adalah untuk membantu pesakit kembali normal atau mencapai tahap kefungsian optimum.
“Peranan rehabilitasi amat penting untuk mencapai kesejahteraan kualiti kesihatan yang lebih baik demi keterjaminan masa hadapan.
“Saya percaya program seperti ini dapat mengetengahkan peranan serta perkhidmatan rehabilitasi Hospital USM kepada komuniti khususnya kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merangkumi pelbagai peringkat umur,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Ketua Program Hari Rehabilitasi Bersama Komuniti 2023, Che Nor Haslindar Ishak ketika ditemui berkata, program ini antara lain bertujuan untuk menilai tahap kesihatan daripada aspek medikal dan rehabilitasi seperti penilaian keupayaan atau kecergasan fizikal dan kognitif, pemeriksaan tekanan darah, kencing manis, paras kolestrol dalam darah dan banyak lagi.
“Dengan adanya program ini, ia dapat memberi pendedahan tentang perawatan dan kepentingan rawatan rehabilitasi kepada masyarakat terutamanya rakyat di negeri Kelantan serta kesedaran untuk mendapatkan rawatan awal fisioterapi dan terapi carakerja bagi mengelak komplikasi yang lebih teruk kepada pesakit,” ujarnya.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Klinikal), Hospital USM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria, Penyelaras, Unit Perubatan Pemulihan merangkap Penasihat Program Hari Rehabilitasi Bersama Komuniti 2023, Dr. Al Hafiz Ibrahim dan warga kerja Unit Perubatan Pemulihan, Hospital USM.
Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman