SISA BIOLOGI SEBERAT 115 KILOGRAM DIURUS SECARA PATUH SYARIAH
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Jun 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menguruskan sisa biologi seberat 115 kilogram secara patuh syariah dengan menanamnya di Tanah Perkuburan Demit, di sini hari ini.
Menurut Ketua Unit Pematuhan dan Pengurusan Risiko Hospital USM, Ustazah Amira Abd Sattar @ Ismail, proses ini dilaksanakan selepas mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pandangan daripada Mufti Negeri Kelantan.
“Untuk slot kelima ini, sisa biologi tersebut adalah dari Makmal Patologi USM dan proses penanaman dilakukan secara berkala empat bulan sekali.
“Kaedah pelupusan patuh syariah ini tercetus apabila ada waris memohon untuk membawa keluar sisa biologi bagi penanaman sendiri. Walau bagaimanapun, polisi tidak membenarkan waris membawa keluar sisa biologi terutama yang mengandungi formalin kerana sisa biologi ini merupakan 'bio hazard' kepada pengendali yang tidak terlatih dan boleh memudaratkan mereka serta alam sekitar,” ujarnya.
Proses pelupusan sisa biologi ini diuruskan oleh USM bermula tahun 2018 selepas mendapat kawasan seluas 1272 kaki persegi di Tanah Perkuburan Demit dengan persetujuan Jawatankuasa Kubur Mukim Demit untuk dijadikan kawasan khas penanaman sisa biologi melibatkan semua jabatan dan makmal yang ada di Kampus Kesihatan USM.
Selain itu, USM juga mendapat kerjasama daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang membuat penyelidikan sama ada berlaku pencemaran atau tidak menerusi sampel air, tanah, dan tumbuhan serta hidupan yang ada di persekitaran tanah perkuburan ini sebelum dan selepas penanaman dibuat.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 137