Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

SKKF PROJEK SERAMPANG DUA MATA TANAM INTEGRITI DALAM DIRI WARGA KERJA

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 November 2021 - Integriti, satu perkataan yang mudah disebut tetapi sukar dihayati apatah lagi untuk istiqamah mengamalkan konsep tersebut dalam urusan kerjaya.

Namun Universiti Sains Malaysia (USM), menerusi Jabatan Pendaftar mengambil pendekatan berbeza bagi memupuk sikap integriti dalam diri warga kerjanya dengan memperkenalkan Sistem Kehadiran Kerja Fleksi (SKKF). Sistem ini dibangunkan selaras dengan hala tuju universiti dalam konteks 'e-Government' atau 'Business Process Automation'.

SAVE 20211125 072528

Menurut Timbalan Pendaftar, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan USM, Noor Hayati Mohammad, SKKF merupakan norma baharu pengurusan sumber manusia agar pemantauan kehadiran dan aktiviti atau tugasan rasmi staf dapat dilakukan secara berpusat, mudah dan sistematik.

"Setelah melalui tempoh percubaan selama beberapa bulan, maka pada 1 Januari 2021, universiti mengambil keputusan agar semua staf perlu menggunapakai sistem SKKF kecuali mereka yang bekerja secara syif."

"Staf perlu mengisi tugasan rasmi masing-masing di dalam SKKF, memilih lokasi bertugas pada hari tersebut dan 'clock in' sama ada menggunakan pautan portal rasmi 'CampusOnline USM' atau aplikasi mobile 'Passport USM' yang boleh dimuatnaik di telefon bimbit masing-masing," ujarnya ketika menjadi panel sesi bual bicara yang berlangsung di Kampus Kesihatan baru-baru ini.

Tambah Noor Hayati, universiti meletak harapan yang tinggi kepada staf untuk menjaga integriti dan bertanggungjawab memenuhi tempoh bekerja lapan (8) jam (tidak termasuk waktu rehat) kerana SKKF tidak menyediakan fungsi 'clock out' sebagaimana sistem perakam masa seperti sebelum ini.

"Penyelia dan Ketua Jabatan bertanggungjawab untuk memastikan staf seliaan bertugas dalam waktu bekerja yang ditetapkan, tidak kira sama ada staf 'Hadir Ke Pejabat' atau 'Bekerja Dari Rumah' seterusnya menyemak dan mengesahkan tugasan yang disenaraikan oleh staf."

"Rekod kehadiran bekerja adalah penting kerana itulah satu-satunya dokumen yang sahih dan kukuh yang dapat dijadikan bukti sekiranya berlaku apa-apa insiden kepada staf dalam tempoh bekerja."

"Sebagai penjawat awam, pelbagai bantuan disediakan sekiranya staf mengalami kemalangan dan rekod tersebut akan digunakan untuk tuntutan seperti 'ex-gratia' serta lain-lain bantuan yang layak diterima oleh staf berkenaan atau waris yang ditinggalkan", jelasnya lagi.

Noor Hayati berkata, dalam situasi kes COVID-19 ini, USM telah mengambil langkah terkehadapan apabila memperkenalkan SKKF yang mana memberi pilihan untuk membenarkan staf bekerja dari rumah kecuali bagi perkhidmatan perlu (essential services) seperti di Hospital USM.

"Kerajaan telah meluluskan 'Dasar Bekerja Dari Rumah'  (BDR) sebagai alternatif cara bekerja baharu dalam perkhidmatan awam melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2021. Pekeliling yang dikeluarkan semasa pandemik ini adalah selaras dengan kewujudan SKKF sebagai penambahbaikan kepada sistem penyampaian perkhidmatan dan merupakan satu usaha berterusan dan keperluan mengimbangi antara tugas dan kesejahteraan staf."

"Suka saya mengingatkan kepada semua warga kerja khususnya di Kampus Kesihatan agar faham konsep sebenar BDR di mana sepanjang jam bekerja, staf perlu sentiasa berada di rumah sebagai lokasi kerja, mesti sentiasa boleh dihubungi dan perlu hadir ke pejabat jika diarahkan oleh Penyelia atau Ketua Jabatan", ulas beliau lanjut.

Selain topik SKKF dan BDR, pelbagai isu lain turut dikupas oleh tiga (3) panel jemputan lain dalam program Bual Bicara COVID-19 "Menuju Endemik : Bersediakah Kita?" yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook USM Kampus Kesihatan dan YouTube USM Kampus Kesihatan.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 231