SPINAL BIFIDA : KESAN DAN KAEDAH RAWATAN
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 Mei 2022 – Spinal Bifida adalah kecacatan kekal berpunca daripada pembentukan tulang belakang yang tidak sempurna ketika dalam kandungan yang mengakibatkan saraf terdedah kepada persekitaran luar dan ia tidak berkembang dengan baik.
Pensyarah merangkap Pakar Bedah Ortopedik, Jabatan Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Emil Fazliq berkata, individu yang menghidap penyakit ini diketegorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana tiada ubat bagi memulihkan Spinal Bifida selain hanya boleh membantu menaikkan kualiti kehidupan individu tersebut supaya menjadi lebih baik.
“Spinal Bifida berisiko terjadi apabila ibu kekurangan vitamin, kurang Asid Folik dan ibu yang menghidap kencing manis.
"Persediaan perlu dilakukan sebelum mengandung untuk berhadapan risiko kandungan yang mengalami masalah ini kerana Spinal Bifida biasanya terjadi bergantung kepada umur ibu mengandung. Semakin tinggi usia, semakin tinggi risiko akibat penyakit sampingan yang dihidapi.
“Kesan Spinal Bifida bergantung kepada tahap penyakit itu sendiri contohnya jika saraf terkeluar dari kulit, pesakit perlu melakukan pembedahan untuk menutupnya bagi mengelak jangkitan kuman. Sekiranya Spinal Bifida berlaku di bawah kulit maka tiada rawatan akan dilakukan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Hari Raya bersama pesakit-pesakit Spinal Bifida di Blok Pembelajaran dan Sumber Pelajar (BPSP), Kampus Kesihatan, di sini.
Tambah Emil, Spinal Bifida bukan melibatkan otot sahaja, tetapi ia turut mengganggu proses perkumuhan yang lain seperti sembelit, kencing tidak puas, infeksi pada saluran kencing, hilang deria rasa dan menghidap penyakit buah pinggang.
“Untuk merawat penyakit ini, pesakit perlu menjalani rehabilitasi dan prevensi mengikut keadaan yang dialami termasuk mengelak dari berlaku komplikasi lemah otot oleh anggota badan tersebut.
“Spinal Bifida bukan penamat kehidupan bagi seseorang individu kerana ada dalam kalangan mereka yang berjaya dalam kehidupan masing-masing dan persepsi ini perlu diterapkan kepada orang ramai agar penghidap Spinal Bifida ini tidak disisihkan," katanya lagi.
Emil turut menasihatkan ibu bapa penghidap Spinal Bifida agar memahami kesan penyakit ini dan sentiasa bermotivasi kerana rawatan yang terbaik adalah dari ibu bapa sendiri memandangkan penjagaan rapi perlu diutamakan bagi mengelak jangkitan kuman merebak serta senaman berjadual perlu dilakukan bagi mengelakkan otot menjadikan kaku.
Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 436