BACHOK, KELANTAN, 5 Mac 2023 - Mohamad Hafiz Mohamad Adli, pelajar tahun empat (4), Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) muncul sebagai penerima Anugerah Pegawai Kadet Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Terbaik USM. Beliau antara 73 orang pelajar USM yang berjaya mendapat pentauliahan pada sesi 2022.
Majlis Pentauliahan Kor SISPA, Peringkat Kebangsaan Kali Ke-13 Tahun 2022 telah diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Bachok dan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Selaras dengan dasar Kementerian Pendidikan Tinggi, Kor SISPA merupakan wadah terbaik dalam memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa terutamanya sebagai persediaan mahasiswa kini di dalam menghadapi impak cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu. Penekanan latih amal aspek ilmu pengurusan bencana, disiplin dan pembelajaran dalam Kor SISPA yang memfokuskan aspek pertahanan awam di samping penerapan sikap kesiapsiagaan para mahasiswa dalam menghadapi bencana dilihat sebagai salah satu platfom untuk melahirkan pegawai pertahanan awam yang berkaliber dan cekap pada masa hadapan.

Mohamad Hafiz ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan bangga kerana dipilih sebagai penerima anugerah tersebut dan memberitahu beliau memilih menyertai Kor SISPA kerana ia merupakan satu medium untuk belajar ilmu pertahanan awam.
“Kor SISPA yang saya sertai selama tiga (3) tahun ini banyak memberi pengalaman terutama dalam bab mendisiplinkan diri, bagaimana menghadapi bencana banjir, bertindak sebagai ‘First Responder’ dalam memberi rawatan kecemasan awal dan bab pengurusan diri.

“Saya menyeru semua sahabat agar dapat sama-sama melaporkan diri di mana-mana Pejabat Pertahanan Awam terdekat untuk menabur khidmat kerana buat masa sekarang, jumlah sukarelawan amat sedikit selain dapat meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap pertahanan awam," katanya ketika ditemubual.
Mohamad Hafiz turut menasihatkan semua pelajar yang berminat menyertai Kor SISPA agar menguruskan masa dengan baik, mengikut jadual dan silibus yang ditetapkan serta tidak melibatkan diri dengan perkara yang tidak bermanfaat.

Seramai 902 orang Pegawai Kadet Siswa ditauliahkan pangkat Leftenan Muda (PA) pada majlis kali ini mewakili 16 Institut Pengajian Tinggi Awam, dua (2) Institut Pengajian Tinggi Swasta dan dua (2) Intitut Pendidikan Guru. Daripada jumlah tersebut juga, seramai 64 orang pelajar adalah dari Kampus Induk USM dan sembilan (9) orang pelajar dari Kampus Kesihatan.

Turut hadir mewakili USM dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa yang juga Komandan Kor SISPA USM, Penolong Pesuruhjaya Kehormat (PA) Dato' Profesor Gs. Dr. Narimah Samat; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM yang juga Timbalan Komandan Kor SISPA USM Kampus Kesihatan, Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Dr. Shaharum Samsuddin; Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan yang juga Timbalan Komandan Kor SISPA USM Kampus Induk, Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman; Pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri yang juga Ajutan Kor SISPA Kampus Induk, Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim dan Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Kampus Kesihatan, Kapten Bersekutu (PA) Khairul Ithma Mahdi.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Mohammad Faisal Mohd Afly