USM KUBANG KERIAN, 11 Jun 2020 - Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang diisytiharkan oleh Kerajaan bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020 membuka peluang pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan khususnya pelajar tahun akhir kembali ke kampus untuk memulakan pengajian seperti biasa.
Menurut Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr Ahmad Sukari Halim, sebelum kembali ke kampus, pelajar perlu mengisi Borang Deklarasi Risiko COVID-19 Warga KK USM secara dalam talian beserta 'screenshot' aplikasi MySejahtera bagi penentuan status zon lokasi tempat tinggal mereka.
"Surat kebenaran untuk kembali ke kampus akan dikeluarkan oleh pusat pengajian masing-masing kepada pelajar yang layak dan disahkan tiada risiko sahaja.
"Bagi pelajar yang mengalami gejala atau risiko kontak, mereka perlu menghubungi 'hotline' 09-7673519 untuk mendapatkan maklum balas dari Klinik SRI-SARI dan mereka perlu menangguhkan perjalanan serta mendapatkan pemeriksaan atau rawatan di klinik kesihatan berhampiran tempat tinggal masing-masing," ujarnya.
Tambah Sukari, selepas mendapatkan rawatan, mereka perlu mengisi semula Borang Deklarasi dan menghantar borang tersebut beserta surat tawaran, pengesahan tamat tempoh kuarantin 14 hari dan keputusan siasatan COVID-19 (jika ada).
"Selain itu, kemasukan pelajar ke kampus perlu melalui 'Standard Operating Procedure' (SOP) yang telah ditetapkan termasuk ahli keluarga atau pengiring yang datang menghantar pelajar ke kampus.
"Setelah tiba di kampus, pelajar serta pengiring perlu melepasi saringan suhu badan di pintu masuk dan sekiranya pelajar serta pengiring lulus saringan tersebut, mereka diminta untuk terus melapor diri di Pejabat Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) bagi tujuan pengesahan saringan gejala Covid-19," katanya lagi.
Sukari berkata, pelajar serta pengiring yang tidak lulus saringan suhu badan, mereka akan dirujuk ke Klinik SRI-KRK Hospital USM.
"Selain itu, pelajar dari zon hijau dan tidak bergejala atau berisiko akan dibenarkan masuk ke bilik masing - masing manakala pelajar yang datang dari zon merah tetapi tidak bergejala atau berisiko pula akan ditempatkan di zon kuarantin untuk 14 hari.
"Bagi pelajar yang bergejala atau berisiko, mereka akan terus dirujuk ke Klinik SRI-KRK dan hasil pemeriksaan yang dijalankan akan menentukan sama ada pelajar tersebut dibenarkan masuk ke bilik masing - masing atau
dikuarantin selama 14 hari atau perlu ditempatkan di zon isolasi untuk tindakan susulan," jelasnya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel