Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

UJIAN SARINGAN AWAL KANSER UNTUK PANJANGKAN JANGKA HAYAT

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Februari 2020 - Pengesanan, pemeriksaan, dan diagnosis awal kanser dapat meningkatkan jangka hayat seseorang untuk hidup lebih lama kerana jika dikesan pada peringkat awal dan dirawat dengan rawatan yang sesuai, peluang untuk hidup melebihi lima (5) tahun secara mendadak lebih tinggi daripada jangka hayat yang diberikan oleh doktor.

UJIANSARINGANAWALKANSERUNTUKPANJANGKANJANGKAHAYAT2

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, dengan kemajuan teknologi masa kini, kebanyakan kanser dapat dikesan pada peringkat awal dan ujian saringan bagi kanser payudara serta kanser serviks hendaklah dilakukan secara berkala.

“Gaya hidup yang tidak sihat seperti amalan seks bebas yang menyebabkan jangkitan kuman penyebab kanser seperti Human Papilloma Virus, Hepatitis, HIV AIDS, Epstein-Barr dan berbagai-bagai lagi virus wajib dijauhkan di samping faktor lain seperti tabiat pemakanan, berat badan berlebihan, kurang aktiviti senaman, pendedahan kepada cahaya UV yang berlebihan, pengambilan alkohol, tabiat merokok, pencemaran udara serta penggunaan hormon adalah antara punca kanser yang boleh diubah.

UJIANSARINGANAWALKANSERUNTUKPANJANGKANJANGKAHAYAT3

“Sempena menyambut Hari Kanser Sedunia pada tahun ini, marilah kita mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan risiko kanser terhadap diri sendiri dan masyarakat di samping membantu pesakit-pesakit kanser mendapatkan rawatan sewajarnya terhadap penyakit mereka. Apa yang lebih penting, kita perlu mengubah stigma bahawa kanser bukanlah pengakhiran sebuah kehidupan,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2020 Peringkat Hospital USM, di sini.

Sukari yang juga Pengarah Hospital USM berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kanser merupakan penyebab kedua tertinggi kematian di Malaysia. Tiga jenis kanser yang tertinggi dalam kalangan lelaki di Malaysia adalah 16.4 peratus Kolorektal, 15.8 peratus Paru-paru dan 8.1 peratus Nasopharynx manakala kanser payudara menjadi yang tertinggi dalam kalangan wanita dengan peratusan sebanyak 32.1 diikuti 10.7 peratus Kolorektal dan 7.7 peratus kanser Serviks.

“Antara faktor penyumbang pesakit kanser semakin meningkat adalah kerana kurangnya kesedaran mengenai kepentingan menjalani ujian saringan dan pengesanan awal kerana masyarakat kita lebih selesa dengan tahap kesihatan mereka walaupun pelbagai kempen kesedaran mengenai bahaya kanser telah dijalankan sama ada di peringkat komuniti mahupun kerajaan,” jelasnya lagi.

UJIANSARINGANAWALKANSERUNTUKPANJANGKANJANGKAHAYAT1

UJIANSARINGANAWALKANSERUNTUKPANJANGKANJANGKAHAYAT

Sambutan Hari Kanser Sedunia pada tahun ini turut diisi dengan pelbagai aktiviti seperti kempen kesedaran kanser, ceramah, pertandingan melukis poster ‘kami cakna kanser’ oleh pelajar-pelajar sekolah menengah dan banyak lagi.

Tambah Sukari, pendekatan yang diambil dengan melibatkan pelajar sekolah dan guru-guru bertujuan untuk memberi kesedaran tentang bahaya kanser sejak dari awal di samping memberi pendedahan dalam pelbagai aspek terutamanya gaya hidup sihat.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Anis Azniriza Zainol

  • Created on .
  • Hits: 145