Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

WARGA PENDIDIK SYUKUR TERIMA DOS PENGGALAK MENERUSI PROGRAM KRIS KPT HOSPITAL USM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 November 2021 – Hampir 200 orang guru dari sekitar daerah Kota Bharu menerima suntikan dos penggalak di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Penolong Penyelaras Program KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) , Dr. Norhayati Mohamad berkata, demi menyahut seruan kerajaan dalam membantu pemberian dos penggalak kepada petugas barisan hadapan, USM melalui program KRIS telah bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu bagi memberi suntikan dos penggalak kepada guru-guru di sekitar daerah tersebut.

8dae6985 cff6 4ce9 b284 b4702ba92089

“Ini merupakan program pertama pemberian dos penggalak di SPPV Hospital USM melibatkan kakitangan awam lain dan jika tiada halangan program ini akan dibuat secara 'outreach' ke lokasi di mana kakitangan  awam bertugas dan  akan turut diperluas kepada agensi luar yang lain.

“Program pada hari ini adalah kerjasama  Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu kerana ia merangkumi kawasan yang lebih luas serta mempunyai banyak buah sekolah berbanding daerah yang lain,” katanya

69a27665 200d 4302 a6a6 c8a7747994a0

Sementara itu, Timbalan PPD Sektor Perancangan merangkap Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah, PPD Kota Bharu, Ahmad Yani Muhammad berkata, beliau rasa terpanggil untuk mendapatkan dos penggalak bagi meningkatkan imuniti badan selain menyahut seruan KKM dan kerajaan.

“Di daerah Kota Bharu, hampir 90 peratus pelajar-pelajar telah mendapat dos pertama dan kedua serta syarat pembukaan sekolah perlu 90 peratus ke atas pelajar divaksinasi untuk sesi pembelajaran secara bersemuka penuh tingkatan 5.

0ca99345 b30b 4ad3 9f54 b1398e77f9c5

“Di peringkat PPD pula, kami amat menggalakkan guru-guru, staf sokongan dan pekerja am untuk mendapatkan suntikan vaksin agar negeri Kelantan dapat bertukar kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dan sekolah beroperasi seperti biasa dengan mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada," ujarnya.

Tambah Ahmad Yani, perubahan fasa adalah penting agar anak-anak dapat kembali ke sekolah serta tiada lagi sesi Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) yang bergantung kepada capaian internet sepenuhnya.

"Saya berharap agar guru-guru serta ibu bapa segera mendapatkan dos penggalak secara sukarela agar imuniti dapat ditingkatkan," jelasnya lagi.

Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 128