USM - BREGO PERKUKUH KERJASAMA PENYELIDIKAN PENYAKIT NEUROPATIK DAN KENCING MANIS
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Januari 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) hari ini telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama BREGO Life Sciences Sdn Bhd bagi memantapkan jalinan kerjasama dalam penyelidikan terhadap penyakit neuropatik dan faktor-faktor yang berkait dalam kalangan pesakit kencing manis.
Majlis penandatanganan MoA itu disempurnakan oleh Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail mewakili Naib Canselor USM dan Dekan PPSG, Profesor Dr. Norhayati Luddin bagi pihak USM, manakala BREGO Life Sciences Sdn Bhd pula diwakili Pengarah Urusan, Dr. Danny Wong dan Pengurus Jualan, Manson Oo.
Berucap pada majlis tersebut, Shaiful Bahari berkata, berdasarkan statistik terkini pada tahun 2023, kira-kira 15.6 peratus (%) rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas telah didiagnosis menghidap penyakit diabetes (kencing manis).
“Keadaan ini meningkatkan risiko komplikasi serius seperti penyakit jantung, angin ahmar, kerosakan saraf kaki, masalah mata dan kerosakan buah pinggang. Kajian yang dijalankan di Kuala Lumpur pada tahun 2017 juga menunjukkan bahawa 34.5% pesakit kencing manis menghadapi masalah saraf kaki.
“Namun, ‘prevalens’ masalah ini di Kelantan masih belum diketahui secara jelas dan menerusi kolaborasi ini, BREGO Life Sciences Sdn Bhd telah bersetuju untuk menaja kajian bertajuk ‘Prevalens Kesakitan Neuropatik dan Faktor-Faktor yang Berkaitan dalam Kalangan Pesakit Kencing Manis yang Hadir ke Hospital Pakar USM’,” katanya.
Menurut Shaiful, kerjasama antara USM dan BREGO Life Sciences ini juga amat signifikan kerana Hospital Pakar USM memiliki kepakaran dalam merawat pesakit kencing manis dengan rawatan terbaik.
“Usaha ini juga menyokong pengukuhan kerjasama antara institusi penyelidikan dan industri serta membudayakan penyelidikan dan inovasi.
“Pada masa yang sama, kerjasama ini turut membantu negara untuk mencapai ‘Sustainable Development Goal’ ke-3 iaitu ‘Good Health and Wellbeing’,” jelasnya lagi.
Tambah Shaiful, Hospital Pakar USM mempunyai pengalaman luas dalam merawat pesakit kencing manis yang mengalami komplikasi saraf.
“Oleh itu, penglibatan Hospital Pakar USM dalam kerjasama ini akan memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu, khususnya dalam rawatan awal untuk pesakit di negeri Kelantan.
“Selain itu, USM juga sentiasa berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dalam bidang penyelidikan dan yakin bahawa kerjasama ini dapat memberi impak yang positif kepada masyarakat dan negara,” ujarnya.
Sementara itu, Danny Wong pula berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada USM terutama para penyelidik yang terlibat dalam MoA ini kerana sudi menjalankan penyelidikan bersama BREGO Life Sciences Sdn Bhd.
“Sumbangan semua pihak yang terlibat dalam kajian ini amat penting dalam usaha menghasilkan produk terbaik yang akan membantu pesakit diabetes neuropatik.
“Saya berharap agar kerjasama antara BREGO Life Sciences Sdn Bhd dan USM ini menjadi transformasi yang akan membawa perubahan kepada kehidupan ramai orang.
“Semoga kejayaan yang akan dicapai menjadi inspirasi kepada semua untuk menghasilkan inovasi dan beroleh kejayaan yang luar biasa,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti) PPSG, Dr. Norhayati Yusop; Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Antarabangsa) PPSG, Dr. Fadzlinda Baharin, para penyelidik dan delegasi dari BREGO Life Sciences Sdn Bhd.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 302