Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM KAMPUS KESIHATAN BAKAL BERUBAH WAJAH: SEDIAKAN PADANG SINTETIK BERTARAF ANTARABANGSA

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 April 2022 – Projek pembinaan padang sintetik di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) dijangka memberi kemudahan sukan bertaraf antarabangsa kepada USM khususnya dan rakyat negeri Kelantan amnya. 

Projek yang dianggarkan menelan kos hampir RM5 juta dalam tempoh 16 tahun konsesi itu terbahagi kepada dua (2) fasa iaitu fasa 1 merangkumi 1 unit padang sintetik bertaraf FIFA dengan saiz 105 meter x 68 meter, 1 unit padang sintetik (7-sebelah) dan menaik taraf fasiliti-fasiliti Kompleks Sukan seperti tempat duduk astaka, tandas, bilik persalinan dan lain-lain. 

910f00a9 d736 4027 be28 ea04eef4345d

Fasa 2 pula merangkumi 1 unit padang sintetik bertaraf FIFA dengan saiz 105 meter x 68 meter dan ruang-ruang komersial. 

Pembangunan fasa 1 dijadualkan mengambil masa enam (6) bulan manakala perancangan fasa 2 dijangka akan bermula selepas 12 bulan pengoperasian fasa 1.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, Pengurusan USM menaruh kepercayaan yang tinggi kepada 59KOPA Sdn. Bhd. untuk membangunkan fasiliti sukan bertaraf antarabangsa dan merupakan projek kedua pihak KOPA selepas kejayaan membangunkan fasiliti yang sama di Kampus Induk. 

914ced1e d452 4b53 94d9 575d71fa282a

“USM tidak mengeluarkan sebarang modal untuk pembinaan padang sintetik ini dan semuanya ditanggung oleh 59KOPA Sdn. Bhd yang mana jaringan kerjasama ini memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

“Di Kampus Induk, USM boleh menggunakan kemudahan fasiliti sukan yang disediakan sehingga jam 6 petang setiap hari dan selepas itu KOPA akan ambil alih untuk buka kepada orang awam. InsyaAllah di Kampus Kesihatan kita cuba untuk terapkan peraturan yang sama nanti,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pecah Tanah Projek Padang Sintetik, di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan USM hari ini. 

Tambah Faisal Rafiq, beliau juga percaya projek berimpak tinggi itu dapat menarik lebih ramai komuniti setempat berkunjung ke USM untuk beriadah dan berekreasi.

d5bddbe4 7f56 434e 9200 8005e084700a

“Selain itu, saya percaya kemudahan fasiliti sukan ini turut memberi peluang kepada pelajar Kampus Kesihatan USM untuk mendapatkan kerja sampingan dengan KOPA apabila kemudahan ini telah siap nanti.

“Saya juga yakin kemudahan yang disediakan ini merupakan persekitaran yang selamat untuk anak-anak staf dan golongan kurang upaya melakukan aktiviti senaman dan sukan,” jelasnya lagi.

Faisal Rafiq turut berharap semoga pembinaan padang sintetik itu berjalan lancar dan siap mengikut masa yang ditetapkan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Kelestarian dan Pembangunan Institusi) Profesor Dr. Md. Roslan Hashim; Pemangku Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Urusan Kumpulan KOPA Sdn. Bhd., Nik Mohd Iqbal Nik Ibrahim; Pengarah Urusan Kumpulan USAINS Holding Sdn. Bhd., Farid Wajidi Mat Yusoff; Pengarah Pembangunan Korporat Strategik USM, Haji Muhamad Sabri Said dan Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Haji Idrus Haji Rapie.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 312